Polis buru 5,601 pembeli sijil vaksin palsu

Arjunaidi
Arjunaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang memburu 5,601 individu yang dikesan mendapatkan sijil digital vaksinasi tidak sah dari sebuah poliklinik di Gombak, Selangor yang diserbu pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah berkenaan didapati berdasarkan rampasan komputer riba yang dijalankan semasa serbuan.

Menurutnya, semua individu terlibat akan dikesan untuk membantu siasatan.

"Ketika serbuan dijalankan, polis merampas komputer riba yang dipercayai boleh digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam sistem MySejahtera.

"Hasil penelitian di dalam komputer riba yang dirampas mendapati terdapat 5,601 pesakit yang didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Arjunaidi turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak sesekali menjual sijil digital vaksinasi.

"Polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ini," katanya.

Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan polis berjaya menumpaskan kegiatan menjual sijil digital vaksinasi dalam serbuan di sebuah poliklinik di Gombak.

Artikel Berkaitan:

Menerusi serbuan dijalankan, poliklinik berkenaan didapati mengenakan bayaran sebanyak RM500 bagi setiap sijil digital vaksinasi secara tidak sah yang dikeluarkan.