Penggunaan RFID patut lebih fleksibel

Pelaksanaan bayaran tol menggunakan RFID sejak Sabtu lalu masih menerima rungutan daripada pengguna lebuh raya. -Foto Bernama (Gambar kecil: Faiz)
Pelaksanaan bayaran tol menggunakan RFID sejak Sabtu lalu masih menerima rungutan daripada pengguna lebuh raya. -Foto Bernama (Gambar kecil: Faiz)
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) digesa untuk lebih fleksibel dalam penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dalam pelaksanaan transaksi tol dengan tidak memansuhkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) yang sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, rakyat perlu diberikan pilihan dan tidak dipaksa dengan satu kaedah sahaja seolah-olah kita hidup di bawah pemerintah autokratik.

Menurutnya, kad TnG sedia ada lebih mesra pelanggan kerana boleh juga digunakan untuk kemudahan lain seperti tempat letak kereta dan kenderaan awam LRT, MRT dan sebagainya.

"Kaedah penggunaan RFID sepenuhnya secara tunggal di tol lebuhraya jika dilaksanakan kelak, pasti menimbulkan masalah kepada pengguna lebuhraya apabila ia gagal berfungsi dengan baik.

"Lagipun, kad TnG boleh digunakan untuk banyak kereta, sedangkan sticker RFID hanya boleh digunakan untuk satu kereta sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, rakyat perlu membeli pelekat RFID bagi setiap kereta yang digunakan dan ini pasti menambah beban rakyat terutama golongan M40.

Jelasnya, lebih 20 peratus golongan M40 tergolong dalam golongan B40 pada ketika ini dan kaedah yang digunakan pasti menambah beban golongan ini yang biasanya memiliki lebih daripada satu kereta.

Katanya, kerajaan dan PLUS juga digesa untuk mengkaji semula kaedah ini supaya tidak membebankan golongan miskin bandar memandangkan kebanyakan pengguna lebuhraya adalah penduduk di kawasan bandar.

Artikel Berkaitan:

"Dengan harga sticker RFID yang cukup mahal (RM35), ia adalah penjualan yang menguntungkan kroni dan membebankan rakyat.

"Tidak sepatutnya, kerajaan dan PLUS mementingkan kepentingan kroni dalam keadaan kehidupan rakyat yang susah sekarang, ekonomi negara yang masih meleset dengan kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021 dan harga barang yang semakin naik," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan PLUS untuk memberikan pelekat RFID ini secara percuma, kerana keuntungan pasti diperolehi melalui pembayaran tol melibatkan lebih kurang sejuta kenderaan sehari untuk menampung kos pelekat yang hanya bernilai beberapa ringgit sahaja.