Pendapatan pemandu teksi KKIA terjejas

Shamsuddin (dua dari kiri) bersama pemandu teksi KKIA yang lain menunjukkan surat kelulusan geo fencing ketika hadir pada sidang akhbar di KKIA, Kota Kinabalu.
Shamsuddin (dua dari kiri) bersama pemandu teksi KKIA yang lain menunjukkan surat kelulusan geo fencing ketika hadir pada sidang akhbar di KKIA, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 180 pemandu perkhidmatan teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) merayu supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan pihak berwajib menguatkuasakan segera 'geo fencing' atau halangan terhadap pengendali perkhidmatan e-hailing.

Pengerusi Persatuan Limousin dan Teksi KKIA, Shamsuddin Mohd Shah berkata, tiada tindakan diambil sehingga kini walaupun keputusan untuk melaksanakan 'geo fencing' telah dibuat membabitkan kerajaan negeri serta pihak berkuasa.

"Sampai bila kami harus diperlakukan seperti ini, aduan demi aduan dibuat tetapi tiada tindakan walaupun perkara itu sudah dipersetujui pelbagai pihak termasuk mendapat sokongan kerajaan negeri.

"Ada dakwaan mengatakan harga tambang teksi limousin KKIA lebih mahal berbanding perkhidmatan e-hailing, tetapi harga ini bukan kami tentukan, kerajaan yang tentukan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di KKIA di sini, pada Selasa.

Shamsuddin mempunyai bukti kukuh termasuk minit mesyuarat yang jelas bahawa pemandu bagi perkhidmatan e-hailing sudah tidak dibenarkan menungggu pelanggan di KKIA.

Sementara itu, seorang pemandu teksi KKIA, Tamrin Abidin, 62, memaklumkan pendapatannya terjejas sejak pemandu e-hailing beroperasi mengambil penumpang dalam kawasan KKIA.

Katanya, setiap bulan hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM450 saja berbanding sebelum ini.

"Kami tiada pilihan jika penumpang memilih perkhidmatan e-hailing memandangkan harga yang ditawarkan lebih murah sedangkan tambang bagi teksi lapangan terbang ditentukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu perlunya pihak berkaitan lindungi kami dengan tidak membenarkan perkhidmatan e-hailing beroperasi di dalam terminal," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat melindungi semua pengusaha teksi yang sekian lama menjadikan perkhidmatan ini sebagai sumber pendapatan utama.