Isu masalah ketagihan dadah topik hangat minggu ini

Dadah jenis syabu
Dadah jenis syabu
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan bahan terlarang seperti dadah sehingga membawa kepada masalah ketagihan yang melampau kini semakin teruk dan akan menjadi topik penting pada minggu ini.

Ia kerana golongan yang menggunakan dadah kini sudah semakin berkembang sehinggakan terdapat individu daripada kumpulan profesional yang mengambil dadah sebagai perangsang untuk tujuan kerja.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Ramli Abd Samad di mana golongan berkenaan menggunakan dadah sehingga merosakkan sistem otak dan hilang kawalan diri mereka.

Ujarnya, penagih dadah bukan lagi daripada kalangan orang setinggan tetapi sekarang telah merangkumi semua golongan.

Menurut Ramli, pihak Pengasih telah pun merawat penagih dadah yang kerjayanya terdiri daripada profesor, arkitek, jurutera, akauntan serta pensyarah.

Perkembangan masalah tersebut dijangka akan mendorong kepada peningkatan kes-kes jenayah di negara ini.

Pakar Psikologi Kaunseling Rawatan dan Pemulihan Dadah, Dr Azemi Shaari berpandangan bahawa penagih dadah jenis syabu atau methamphetamine cenderung bertindak agresif dan berada di luar batasan pemikiran normal manusia.

Jelasnya, syabu adalah dadah sintetik yang boleh menimbulkan satu konflik dalam saraf kognitif atau pemikiran manusia yang mana menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan.

Artikel Berkaitan:

“Kesan pengambilan syabu boleh berlaku dalam dua suasana, iaitu pertama dia akan tidur, satu lagi dia akan berperang dengan diri sendiri antara tidur dengan tidak.

“Jadi apabila penagih dadah berada dalam keadaan tersebut, dia tidak boleh diganggu,” katanya pada Isnin.

Azam Baki - Foto Bernama
Azam Baki - Foto Bernama

Sementara itu, kebenaran di sebalik isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bakal menjadi perbincangan panas pada minggu ini.

Ia susulan apabila Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dijadualkan pada Rabu ini ditangguhkan selepas Azam Baki mengemukakan bantahan.

Perkara tersebut menimbulkan reaksi negatif apabila empat ahli PSC membantah keputusan Pengerusinya, Abdul Latiff Abdul Rahman untuk menunda mesyuarat PSC berkenaan.

Ahli-ahli PSC tersebut adalah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Aziz Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

Walau bagaimanapun, penundaan tersebut menjadikan isu berkenaan berlarutan dan sudah tentu dijangkakan akan ada lagi pihak-pihak lain yang akan memberi pandangan mengenai perkara itu.