Imam mandikan remaja seperti jenazah tetap mahu letak jawatan

Imam masjid memandikan pemuda yang ditangkap mencuri duit tabung masjid dalam keadaan lengkap berpakaian.
Imam masjid memandikan pemuda yang ditangkap mencuri duit tabung masjid dalam keadaan lengkap berpakaian.
A
A
A
SHAH ALAM - Imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah selepas diberkas cuba mencuri tabung masjid tetap bertegas dengan keputusan untuk meletakkan jawatannya.

Perkembangan itu dimaklumkan ahli keluarga imam yang dikenali sebagai ustaz Dahlan itu ketika dihubungi Sinar Harian namun, anak lelakinya itu enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Ya, dia (bapa) bertegas (untuk meletakkan jawatan) 'no turn back'. Dia juga tidak ada apa-apa pertemuan (setakat Isnin) dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Kalau ada apa-apa hal boleh 'call' abang saya, saya tiada kuasa untuk keluarkan apa-apa komen. Saya minta maaf," kata salah seorang anak lelaki imam terbabit ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Jumaat, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengesahkan menerima permohonan peletakan jawatan imam terbabit.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak JAIS akan meneliti hasrat peletakan jawatan itu dalam semua aspek demi kebaikan bersama semua pihak.

"Memang beliau sudah letak jawatan namun kita akan pertimbangkan sama ada untuk terima atau tolak (permohonan peletakan jawatan itu).

"Kita akan tengok keadaan, jangan kerana (peletakan jawatan) itu menyebabkan tidak ada imam gantian, kita akan teliti hasrat imam tersebut untuk kebaikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ketika dihubungi pada Isnin turut mengulangi pendirian itu dan memaklumkan JAIS setakat ini masih lagi mempertimbangkan permohonan peletakan jawatan imam terbabit.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, ibu kepada remaja yang dimandikan seperti jenazah itu turut bersedia memaafkan pihak masjid yang menularkan video insiden berkenaan di media sosial.

Ibu remaja berkenaan, Jasma Rosli, 41, berkata, sebagai seorang manusia, semua tidak lari daripada melakukan kesalahan.

"Saya tiada masalah, kalau semua pihak nak bermaafan, Alhamdulillah dan saranan Yang Arif itu menjadi pengajaran kepada kita semua.

"Saya akui semua ini berlaku atas faktor ibu bapa juga, ia kecuaian saya sehingga menyebabkan dia membawa haluan sendiri, katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding semakan pada Isnin.

Selepas peristiwa itu, Jasma berkata, terpulang kepada anaknya sama ada ingin terus menetap bersamanya dan datuk di Kuang, Rawang.