[VIDEO] Cuba seludup barang ke negara jiran, dua ditahan

Antara barang yang dirampas Maritim Malaysia selepas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui perairan Tawau.
Antara barang yang dirampas Maritim Malaysia selepas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui perairan Tawau.
A
A
A

TAWAU - Tindakan dua individu cuba menyeludup keluar pelbagai barangan termasuk barangan bersubsidi ke negara jiran membawa padah apabila ditahan di perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik, pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, sebanyak 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak peket, 3.4 tan tepung gandum, 1,764 set kosmetik pelbagai jenama serta pelbagai barangan runcit dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, ketika sepasukan anggotanya melakukan rondaan Ops Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Selatan di kawasan berkenaan, terdapat sebuah bot kargo dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

Katanya, bot kargo tempatan itu didapati sarat dengan muatan pelbagai barangan yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati bot kargo tersebut dikendalikan seorang tekong lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 35 tahun.

"Pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Siva Kumar berkata, kedua-dua suspek ditahan bersama bot serta muatan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM212,956.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002," katanya.