X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

FAM digesa segera mohon 'restu' kerajaan

B Sathianathan
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa meyakinkan kerajaan tiada sebarang masalah berlaku sekiranya Malaysia berjaya dalam bidaan menjadi tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Malah, FAM diminta segera mendapat jaminan daripada pihak kerajaan bahawa saingan kelayakan itu tidak akan berdepan dengan pembatalan ekoran krisis ketidaktentuan Covid-19 di negara ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, jaminan kerajaan amat penting bagi memastikan segala perancangan FAM berjalan dengan lancar.

“Saya faham Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sudah tentu akan minta jaminan pihak penganjur (negara yang berminat menjadi tuan rumah) agar perlawanan dapat berlangsung tanpa sebarang kekangan.

“FAM boleh guna pakai dan tambah baik prosedur operasi standard (SOP) ketika penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini bagi mendapat jaminan dan meyakinkan pihak kerajaan.

“Jadi FAM tidak boleh lambat bertindak. Saya percaya negara lain juga pastinya berminat untuk menjadi tuan rumah kerana itu akan memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Sabtu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyuarakan kerisauannya untuk Malaysia memenangi bidaan tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 atas beberapa kekangan akibat Covid-19.

Beliau memberi bayangan faktor kuarantin dan SOP akan jadi kekangan kepada bidaan tersebut, sekali gus meranapkan impian Malaysia untuk menjadi tuan rumah kempen kelayakan kali ini.

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, skuad Harimau Malaya harus membuat persiapan lebih rapi bagi menghadapi aksi kelayakan tersebut tanpa memikirkan soal venue.

“Tak guna kalau Malaysia jadi tuan rumah tetapi persiapan skuad negara tidak berada pada tahap yang sepatutnya. Kita tidak mahu masalah pada Piala Suzuki AFF di Singapura kembali berulang.

“Masa yang ada sudah tidak lama. Jadi pengurusan FAM harus segera membuat tindakan yang sepatutnya. Beri keutamaan mana yang lebih penting.

“Kalau nak jadi tuan rumah, pasukan negara juga harus bersedia awal kerana mereka akan beraksi di gelanggang sendiri. Jangan sampai kita dimalukan di negara sendiri,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!