Bot nelayan tempatan ditahan gaji warga asing

Bot kelas B yang ditahan selepas menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang pada Sabtu.
Bot kelas B yang ditahan selepas menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang pada Sabtu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B yang menggaji kru warga asing tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang sekitar 11.30 pagi, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot berkenaan cuba lari ketika pemeriksaan namun gagal dan berjaya ditahan pada jarak 9.3 batu nautika dari Tanjung Karang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga kru warga asing berumur antara 14 hingga 41 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dua daripadanya warga Thailand dan seorang lagi warga Myanmar. Bot bersama hasil tangkapan ikan seberat 100 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggaji pekerja asing serta tiada dokumen sah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hasil tangkapan bot kelas B dirampas kerana menggajikan pekerja asing di perairan Tanjung Karang pada Sabtu.
Hasil tangkapan bot kelas B dirampas kerana menggajikan pekerja asing di perairan Tanjung Karang pada Sabtu.

Mohammad Rosli berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

"Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil," katanya.

Artikel Berkaitan: