Kupekmas bantah kenaikan tahunan dua peratus ditarik semula

Omar (duduk, tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kupekmas di Wisma Pahlawan pada Ahad.
Omar (duduk, tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kupekmas di Wisma Pahlawan pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas) memohon kerajaan mengekalkan kenaikan tahunan sebanyak dua peratus buat pesara kerajaan.

Presiden Kupekmas,Datuk Omar Osman berkata,terdapat ura-ura mengatakan skim tersebut yang dilaksanakan sejak lapan tahun lalu itu mahu ditarik semula.

Menurutnya, walaupun belum ada pengumuman rasmi dikeluarkan berkenaan perkara itu namun pihaknya membantah keras jika perkara itu benar-benar mahu dilaksanakan.

"Kami rasa kesal dan dukacita kerana tidak dipanggil taklimat atau perundingan mengenai hal tersebut yang hanya diketahui melalui sebaran di WhatsApp dan media sosial.

"Semua ahli yang bernaung di bawah kelab mahu mendapatkan kepastian mengenai kesahihan perkara tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kupekmas di Wisma Pahlawan pada Ahad.

Beliau berharap kerajaan mengkaji semula penarikan kenaikan tersebut dengan mengambil kira keadaan kos sara hidup dan bebanan kewangan yang semakin tinggi.

"Hari ini pesara di bawah B40 dan M40 pun sudah setaraf miskin dan jika ditarik kenaikan tahunan tersebut maka mereka akan jatuh kepada miskin tegar.

"Pesara mahu hak ini dipertahankan dan tidak dipinda serta perlu berjalan seperti biasa. Kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini dengan secepat mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada mesyuarat itu, Kupekmas turut memohon bayaran khas RM350 kepada pesara kerajaan diperluaskan kepada pesara tidak berpencen yang berhak mendapat manfaat sama susulan menabur khidmat dalam sektor kerajaan.

Selain itu, khidmat kesihatan dan perubatan buat pesara juga perlu diberikan penumpuan dengan memudahkan prosedur rawatan dan tuntutan (claim) di hospital kerajaan dan swasta tanpa masalah birokrasi.