Polis bongkar kilang ketamin di Perak, rampas dadah RM111.2 juta

Ayob Khan menunjukkan bahan kimia yang digunakan untuk memproses ketamin di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah.
Ayob Khan menunjukkan bahan kimia yang digunakan untuk memproses ketamin di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah.
A
A
A

IPOH - Sindiket dadah yang menjadikan sebuah kilang sebagai makmal pemprosesan ketamin tumpas selepas polis melakukan serbuan di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah di sini.

Serbuan sekitar jam 1.30 petang Khamis hingga 5.45 pagi Jumaat dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menahan tiga lelaki berusia 28, 37 dan 40 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah merampas dadah seberat 2 tan bernilai RM111.2 juta yang boleh menampung 6.7 juta penagih.

Ayob Khan (kanan) menunjukkan tong-tong bahan kimia di kilang yang dijadikan sebagai makmal memproses ketamin di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah.
Ayob Khan (kanan) menunjukkan tong-tong bahan kimia di kilang yang dijadikan sebagai makmal memproses ketamin di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah.

Menurutnya, kegiatan yang didalangi tiga suspek itu terbongkar apabila pemilik premis membuat laporan selepas mencurigai aktiviti yang dijalankan selain mempunyai tunggakan bil elektrik.

"Siasatan lanjut mendapati sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun lalu itu menyewa premis berkenaan untuk memproses dan mengedar dadah bagi pasaran tempatan.

"Selain bahan kimia dan peralatan memasak, polis turut menyita aset sindiket iaitu enam kenderaan antara BMW, Honda City, Toyota Hilux, motosikal dan barang kemas bernilai RM200,000.

"Tindakan itu diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan direman selama empat hari sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Saringan awal mendapati dua suspek didapati positif dadah jenis ketamin dan benzo serta mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

"Polis akan terus melaksanakan operasi dan ini merupakan rampasan kedua terbesar makmal memproses ketamin selepas Johor (RM201 juta) tahun lalu," katanya.

Ayob Khan (dua dari kiri) diiringi Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan melihat peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.
Ayob Khan (dua dari kiri) diiringi Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan melihat peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

Katanya, pihaknya kini giat memburu tiga lelaki disyaki terlibat dalam sindiket tersebut.

"Mereka yang dikehendaki adalah S Patmanathan, 44, yang beralamat Kampung Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.

"Kedua, Azrul Safuan Mohd Puaad, 28 yang tinggal di Taman Muhibbah Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, berasal dari Kampung Sentosa, Jalan Simpang, Taiping," katanya.