Bahagian paling tercemar berjaya dibersihkan

Yeo Bee Yin - Foto Bernama
Yeo Bee Yin - Foto Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - Bahagian paling tercemar dengan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim iaitu melibatkan jarak 680 meter telah berjaya dibersihkan sehingga jam 4 petang tadi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pembersihan itu merupakan sebahagian dari 1.5 km kawasan keseluruhan sungai yang dikenal pasti tercemar dalam insiden ini.

"Yang paling tercemar sudah dibersihkan.

"Kita juga sentiasa memantau gas yang keluar semasa kerja pembersihan dilakukan menggunakan alat pengesan gas agar kerja-kerja terkawal," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Dalam pada itu, Bee Yin memaklumkan kementeriannya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Saintifik pagi tadi bagi membantu Kerajaan Johor menyelesaikan dan menangani isu pencemaran di sungai berkenaan.

Jelasnya, penubuhan jawatan kuasa itu amat perlu bagi mengetahui apakah pencetus kepada berlakunya gelombang yang berterusan selepas insiden tersebut.

"Apabila kita membersihkan sungai ini, kita perlu tahu secara saintifiknya untuk memahami isu ini dan kita menubuhkan satu Jawatankuasa Saintifik pada hari ini untuk menyiasat secara saintifik dan menyelesaikan masalah yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa ini juga ditubuhkan bagi mencapai empat tujuan utama iaitu pengurusan data, pencegahan gelombang berulang, pengawasan persekitaran dan serapan pada tanah di dasar sungai.

"Ia akan dipengerusikan oleh Profesor Abdul Rahim Mohd Yusof daripada Universiti Teknologi Malaysia dan dianggotai pakar-pakar dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Alam Sekitar, Agensi Angkasa Negara, Jabatan Meterologi Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Kimia Johor, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja dan Petronas," katanya lagi.