Persidangan Menteri-Menteri D-8 muktamadkan Inisiatif Dhaka

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Menteri-Menteri D-8 mengenai Agrikultur dan Industri Makanan pada Khamis memuktamadkan Inisiatif Dhaka bertujuan membangunkan hala tuju bagi kerjasama dan perkongsian teknologi pertanian ke arah 'climate smart'.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat diadakan secara maya berkata, persidangan tersebut juga menjangkakan sokongan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Bank Pembangunan Islam (IsDB) serta rakan strategik lain dalam membantu ahli-ahli negara D-8.

"Objektif penubuhan D-8 adalah untuk menjadi pemangkin kepada kerjasama dalam bidang ekonomi melalui perkongsian kepakaran bagi memperbaiki kedudukan negara-negara anggota dalam ekonomi global.

"Skop kerjasama ini juga telah diperluas dan dipelbagaikan bagi mewujudkan peluang-peluang baharu dalam hubungan perdagangan, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Negara Anggota D-8 ialah Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki dengan Sekretariat D-8 berpusat di Istanbul, Turki.

Dalam persidangan itu, Ronald turut menekankan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menangani cabaran utama sektor pertanian termasuk perubahan iklim di negara ini.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membangunkan hala tuju dasar negara melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bersandarkan tiga ciri utama iaitu kemampanan, daya saing dan kemajuan teknologi.

"Ini bagi menjadikan sektor agromakanan teguh dan seiring dengan pertumbuhan ekonomi global. Dalam masa sama mengurangkan kesan perubahan iklim.

Artikel Berkaitan:

"Peralihan ke arah pemodenan dan aplikasi pertanian pintar serta pertanian tepat merupakan antara hala tuju sektor ini dalam mendepani cabaran perubahan iklim, sekali gus menjamin sekuriti makanan negara," katanya.

Justeru, beliau menyatakan hasrat Malaysia untuk meneruskan kerjasama serantau dan perkongsian pintar dalam kalangan penggubal dasar, saintis, sektor swasta serta komuniti agro.