Keluarga putuskan mayat mendiang Shebby Singh dibawa ke KL

Sonuljit
Sonuljit
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Terima kasih atas semua penghormatan dan kasih sayang kepada mendiang bapa saya,” kata anak lelaki mendiang Serbegeth Singh yang dilaporkan meninggal dunia ketika berbasikal di Iskandar Puteri di sini pada petang Rabu.

Sonuljit Singh, 32, bagaimanapun memohon agar keluarganya diberikan sedikit ruang untuk menguruskan segala urusan selepas pemergian bekas pemain kebangsaan yang lebih dikenali sebagai Shebby Singh itu.

"Saya dan keluarga berterima kasih kepada semua khususnya kasih sayang dan penghormatan yang ditunjukkan di media sosial. Itu satu perkara yang baik untuk dilihat.

"Saya juga berharap semua pihak dapat memberi kami ruang untuk berdepan keadaan ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada Khamis.

Sonuljit berkata, mayat mendiang Serbegeth akan dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur untuk diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi.

"Mayat mendiang akan diuruskan secara 'cremation'.

Pada masa ini keluarga sudah buat keputusan untuk membawa mayat mendiang ke Kuala Lumpur.

"Ini kerana sudah lebih 40 tahun dia menetap di sana, membina karier dan bermain bola sepak di sana.

Artikel Berkaitan:

Jadi kesemua majlis akan diadakan di Kuala Lumpur," katanya.

Sebelum ini, Serbegeth atau dikenali Shebby Singh, 61, dilaporkan maut ketika sedang melakukan aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Sunway Iskandar, Iskandar Puteri kira-kira jam 7.30 petang Rabu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi.

Shebby memulakan karier sebagai pemain bola sepak tanah air sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada tahun 1983.

Mendiang juga menyarung jersi pasukan kebangsaan pada tahun 1982 hingga 1991 dan merupakan salah seorang watak penting dalam membantu Skuad Harimau Malaya memenangi pingat emas pada Temasya Sukan SEA 1989.