Vaksin Covid-19 menyelamatkan nyawa

Kesan utama vaksin adalah untuk mencegah penyakit Covid-19 yang serius, kemasukan ke hospital dan kematian. Gambar hiasan
Kesan utama vaksin adalah untuk mencegah penyakit Covid-19 yang serius, kemasukan ke hospital dan kematian. Gambar hiasan
A
A
A

DUA tahun lalu pada 12 Januari 2020, para saintis dari negara China berkongsi secara terbuka urutan genomik virus yang menyebabkan wabak besar radang paru-paru di Wuhan yang membolehkan pembangunan kit PCR diagnostik dan permulaan untuk membangunkan vaksin.

Selepas beberapa dekad penyelidikan dalam teknologi vaksin mRNA, dua vaksin Covid-19 iaitu vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna telah berjaya dibangunkan, menjalani ujian klinikal melibatkan ribuan peserta dan seterusnya menerima kebenaran penggunaan kecemasan oleh FDA Amerika Syarikat menjelang Disember 2020.

Sejak itu beberapa lagi vaksin telah dibangunkan dan diluluskan dan sehingga kini 9.37 bilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada penduduk di seluruh dunia.

Setakat ini 3.92 bilion orang iaitu separuh daripada penduduk dunia telah diberi vaksin sejak Disember 2020. Di Malaysia, 59.8 juta dos telah diberikan, bermakna 78.6 peratus daripada jumlah penduduk dan 97. 8 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos vaksin.

Dengan usaha bersepadu yang sedang dibuat untuk mencapai liputan dos penggalak yang sama tinggi untuk mengurangkan potensi lonjakan Omicron, 35.4 peratus orang dewasa telah menerima dos ketiga sejak Oktober 2021.

Malaysia kini berada di kedudukan antara 20 negara teratas di dunia untuk vaksin perlindungan termasuk dos penggalak.

Kita harus berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan di atas pencapaian program vaksinasi Covid-19 ini.

Sepanjang 12 bulan lepas sejak pelancaran vaksin global, melalui penyelidikan saintifik yang intensif dan pemantauan keselamatan vaksin yang paling komprehensif dalam sejarah, banyak fakta telah dipelajari tentang keupayaan, keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

Fakta 1

Vaksin Covid-19 menyelamatkan nyawa.

Kajian tempatan menunjukkan bahawa orang yang tidak divaksin mempunyai risiko 40 kali ganda untuk mati berbanding orang yang diberi dua dos vaksin dan 62 kali ganda untuk mati berbanding seseorang yang telah menerima dos penggalak. Satu kajian di Eropah baru-baru ini menganggarkan bahawa 470,000 nyawa mereka yang berumur 65 tahun ke atas telah diselamatkan sejak pelancaran program vaksin di rantau tersebut.

Fakta 2

Kesan utama vaksin adalah untuk mencegah penyakit Covid-19 yang serius, kemasukan ke hospital dan kematian. Analisis data tempatan semasa tempoh lonjakan Delta di Malaysia antara Julai dan Oktober 2021 menunjukkan pengurangan bilangan kemasukan ke ICU dan pengurangan bilangan kes harian baharu dicapai sebaik perlindungan vaksin mencapai 55 dan 60 peratus daripada populasi masing-masing. Ini membolehkan kelonggaran sekatan dan pemberhentian perintah kawalan pergerakan untuk bulan-bulan berikutnya di seluruh negara dan Malaysia memasuki Fasa 1 Pelan Pemulihan Nasional.

Fakta 3

Vaksin-vaksin Covid-19 mampu mengurangkan risiko penyebaran varian Delta. Orang yang menerima dua vaksin Covid-19 dan kemudiannya dijangkiti varian Delta berkemungkinan menjangkiti kontak rapat mereka adalah rendah berbanding orang yang dijangkiti Delta dan tidak divaksinasi.

Varian Omicron bagaimanapun telah menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan dianggarkan tiga hingga enam kali lebih kebolehjangkitan daripada varian sebelumnya dengan masa penggandaan yang singkat.

Walaupun varian Omicron telah menunjukkan mampu mengatasi vaksin dos berganda, semua vaksin nampaknya masih memberikan tahap perlindungan yang ketara terhadap penyakit serius daripada Omicron, yang merupakan matlamat paling penting.

Dengan dua dos vaksin, perlindungan terhadap penyakit kritikal menurun kepada kira-kira 70 peratus selepas tiga bulan dan kepada 50 peratus selepas enam bulan.

Tiga bulan selepas dos penggalak, pengawalan terhadap kemasukan ke hospital dalam kalangan mereka yang berumur 65 tahun ke atas kekal pada kira-kira 90 peratus.

Fakta 4

Varian Omicron dikaitkan dengan jangkitan terobosan walaupun telah divaksinasi. Jangkitan terobosan selepas vaksin berlaku kerana tiada vaksin yang 100 peratus berkesan. Malah vaksin campak, beguk dan rubella (MMR) - salah satu alat pencegahan penyakit yang paling berkuasa yang sedia ada hanya 96 peratus berkesan terhadap campak selepas dua dos, manakala vaksin influenza hanya 45 peratus berkesan.

Walaupun begitu, vaksin influenza dianggarkan dapat mencegah 130,000 kematian daripada jangkitan influenza di Amerika Syarikat setiap tahun.

Fakta 5

Lebih banyak bukti muncul bahawa varian coronavirus Omicron menjejaskan saluran pernafasan atas, menyebabkan simptom yang lebih ringan daripada varian sebelumnya dan mengakibatkan kadar kematian rendah dilaporkan walaupun di negara dengan jumlah yang sangat besar.

Berbeza dengan varian terdahulu yang menjangkiti paru-paru yang menyebabkan radang paru-paru yang teruk, Omicron nampaknya menjangkiti saluran pernafasan atas yang membawa kepada penyakit yang lebih ringan7.

Walaupun Omicron mungkin dikaitkan dengan bentuk penyakit yang lebih ringan, kerana ia sangat mudah menular, bilangan kes boleh meningkat secara eksponen dengan risiko yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan dinegara ini.

Fakta 6

Vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak adalah lebih 90 peratus berkesan untuk mencegah Covid-19 pada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun. Kanak-kanak yang tidak divaksinasi berisiko untuk mengalami keadaan pasca Covid-19 yang berpanjangan, kemasukan ke hospital, sindrom keradangan berbilang sistem (MIS-C) atau kematian.

Risiko miokarditis akibat vaksin jarang berlaku (11 laporan yang disahkan telah diterima selepas pemberian kira-kira 8 juta dos vaksin) di kalangan kanak-kanak berumur 5-11 tahun di Amerika Syarikat.

Dua kematian selepas vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 dilaporkan untuk kanak-kanak dengan pelbagai keadaan perubatan kronik; pada semakan awal, tiada data ditemui yang akan mencadangkan hubungan sebab akibat antara kematian dan vaksinasi.

Pemberian vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas boleh melindungi seluruh keluarga dan mengekalkan mereka di sekolah serta membantu memperlahankan penularan Covid-19 dalam komuniti.

Fakta 7

Dalam pelbagai kajian, miokarditis selepas vaksin mRNA dianggarkan berlaku pada 1-10 setiap 1 juta orang yang diberi vaksin. Dalam perbandingan, miokarditis akibat Covid-19 telah dilaporkan berlaku lebih kurang 40 dari 1 juta kes Covid-19.

Dalam kata lain, miokarditis akibat jangkitan Covid- 19 berlaku dengan kadar 40 kali lebih tinggi dibandingkan dengan miokarditis yang berlaku selpas suntikan vaksin mRNA.

Penilaian manfaat risiko berasaskan bukti menunjukkan bahawa vaksin mRNA sangat bermanfaat dan lebih selamat berbanding dengan miokarditis yang diperolehi Covid-19.

Vaksin Covid-19 sedang dipantau untuk keselamatan dengan program pemantauan keselamatan vaksin yang paling komprehensif dalam sejarah.

Komuniti saintifik, syarikat farmaseutikal dan bioteknologi yang disokong oleh kerajaan dan dermawan telah memberikan keajaiban saintifik moden: bukan satu tetapi beberapa vaksin terhadap Covid-19 telah dibangunkan dalam masa yang singkat tanpa mengabaikan faktor keselamatan dan telah berjaya menyelamatkan berjuta-juta nyawa dan mengembalikan ekonomi global dan tempatan kepada beberapa persamaan normal sekali lagi.

Walau bagaimanapun, sejarah wabak Covid-19 dan khususnya vaksin juga akan diingati kerana penyampaian maklumat salah yang meluas yang telah menyumbang kepada tahap keraguan vaksin yang ketara di seluruh dunia.

Malangnya, di Malaysia salah maklumat ini menggunakan analisis pseudosaintifik terdiri daripada kalangan ahli perubatan sendiri.

Kami menggesa orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat mengenai Covid-19, vaksin dan rawatan berkenaan daripada sumber dan organisasi yang disahkan dan tidak tersalah maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

*Profesor Dato Dr. Adeeba Kamarulzaman, Universiti Malaya

*Profesor Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Universiti Sunway Malaysia