Banjir: PKOB daerah, negeri siap siaga jika perlu diaktif semula

Sallehuddin Ishak
Sallehuddin Ishak
A
A
A

KUANTAN - Banjir yang melanda negeri ini pulih sepenuhnya apabila semua 442 pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri diletakkan dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan memerlukan ia diaktifkan semula.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, seramai 67,878 mangsa banjir telah berpindah ke PPS sepanjang gelombang pertama dan kedua Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 di Pahang.

Katanya, agak mendukacitakan apabila bencana banjir yang melanda negeri ini bermula 17 Disember tahun lalu turut mengorbankan 21 nyawa.

"Kerajaan negeri Pahang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas pelbagai bantuan yang dihulurkan kepada mangsa ketika dan selepas banjir," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sallehuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika rakyat negeri Pahang dilanda musibah banjir.

"Ucapan terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan semua kerajaan negeri yang telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penghantaran sukarelawan, barangan keperluan dan bantuan wang ringgit.

"Tidak dilupakan jasa anggota keselamatan, semua jabatan negeri dan Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan semua pihak yang telah membantu kerajaan negeri Pahang dalam menghadapi MTL kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memohon maaf di atas sebarang kekurangan dan kesulitan yang mungkin timbul dalam menangani dan mengendalikan situasi banjir baru-baru ini.