Banjir: 795 pegawai, anggota polis Selangor terima bantuan

Arjunaidi (kanan) menyampaikan bantuan sumbangan banjir daripada Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial (TKSS) Selangor serta Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor.
Arjunaidi (kanan) menyampaikan bantuan sumbangan banjir daripada Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial (TKSS) Selangor serta Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 795 pegawai dan anggota polis Kontinjen Selangor menerima bantuan sumbangan banjir daripada Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial (TKSS) Selangor serta Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor berjumlah RM427,200.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, warga Kontinjen Selangor terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah, pegawai awam dan ahli keluarga yang menjadi mangsa banjir yang melanda negeri ini pada 18 Disember tahun lalu.

"TKSS Selangor telah memperuntukkan kewangan sebanyak RM379,500 untuk disalurkan kepada 795 pegawai, anggota dan pegawai awam yang mencarum dengan TKSS Selangor.

"Perkep Kontinjen Selangor juga turut tampil membela nasib warga polis Kontinjen Selangor menyumbangkan sebanyak RM47,700.

''Ia adalah sumbangan Tabung Kasih Perkep Malaysia dan daripada pelbagai pihak," katanya semasa menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.

Beliau berkata, sumbangan dan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung warganya yang terjejas banjir.

Beliau berharap agar warganya yang terjejas akibat banjir terus tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki dan Ketua Jabatan Pengurusan Selangor, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad dan Ketua Cawangan Khas Selangor, Senior Asisten Komisioner Izan Bakri.

Artikel Berkaitan: