X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Mesyuarat Khas Parlimen bincang isu Azam Baki Rabu depan

Gambar hiasan
A
A

PETALING JAYA - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bakal mengadakan satu mesyuarat khas pada 19 Januari ini bagi membincangkan kontroversi jual beli saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut laporan The Star, notis yang dihantar kepada Ahli Parlimen pada pagi Rabu oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, mesyuarat itu akan diadakan di Parlimen pada jam 2 petang, Rabu depan.

“Mesyuarat ini adalah untuk membincangkan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” menurut notis tersebut.

Azam sebelum ini terkait dengan kontroversi melibatkan sejumlah besar saham yang dibeli daripada Gets Global Bhd dan Excel Force MSC Bhd antara tahun 2015 dan 2016 semasa beliau menjadi Pengarah Penyiasatan SPRM.

Bagaimanapun, sidang media oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pada 5 Januari lepas menjelaskan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam, iaitu Nasir Baki.

Namun, kenyataan Abu Zahar bersama Azam itu telah menimbulkan polemik termasuk enam orang ahli LLPR yang menyatakan bahawa kenyataan Abu Zahar adalah pandangan peribadi.

Susulan daripada itu, pelbagai pihak meminta agar sebuah siasatan bebas dimulakan bagi menyiasat perkara tersebut di samping menggesa Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Nizam berkata, ahli Parlimen yang menghadiri mesyuarat Rabu depan dikehendaki menjalani prosedur ujian kendiri air liur RTK-AG di klinik Parlimen sebelum mesyuarat pada sebelah petang.

“Ahli Parlimen juga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh Dewan Rakyat apabila berada di kompleks Parlimen, yang boleh dimuat turun di laman web rasmi Parlimen,” katanya.

Nizam memaklumkan bahawa ahli-ahli Parlimen dikehendaki mengesahkan kehadiran mereka ke mesyuarat itu kepada sekretariat Jawatankuasa Pilihan Parlimen.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!