TSG tampil dua import baharu harungi musim 2022

Barisan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada Majlis Memperkenalkan Pelumba, Penaja dan Meraikan Kejayaan Selaku Pasukan Terbaik UCI Asia Tour 2021 di Hotel Primula Kuala Terenganu. - Foto Bernama
Barisan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada Majlis Memperkenalkan Pelumba, Penaja dan Meraikan Kejayaan Selaku Pasukan Terbaik UCI Asia Tour 2021 di Hotel Primula Kuala Terenganu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pasukan berbasikal bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mempertaruhkan dua muka baharu bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim ini.

Pelumba import tersebut ialah Jamal Hibatullah, 24, dari Indonesia dan Anatolii Budiak, 26, dari Ukraine yang pakar dalam teknik pendakian.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, pelumba import lain terus bersama pasukan adalah Metkel Eyob, Youcef Reguigui, Jeroen Meijers, Jambaljambts Saibayar dan Goh Choon Huat yang sudah beraksi lebih dua musim bersama TSG.

"Untuk pelumba tempatan, kita masih mengekalkan gandingan adik-beradik Mohd Zamri dan Mohd Harrif Saleh, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Nur Amirul Fakruddin Mazuki serta Irwandie Lakasek.

"Begitu juga Mohd Shahrul Mat Amin, Muhamad Afiq Huznie Othman dan Wan Abdul Rahman Hamdan yang kita latih daripada Akademi TSG dan masih kita kekalkan untuk musim ini," katanya selepas majlis pelancaran dan memperkenalkan pelumba dan barisan penaja TSG 2022 di sini pada Selasa malam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Che Ku Mohd Izmuddin berkata, TSG juga meletakkan sasaran untuk mengekalkan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang dimenanginya tahun lepas.

Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai persiapan telah dilaksanakan terutama daripada aspek latihan bagi memastikan pelumba-pelumba meneruskan momentum kemenangan biarpun masih berada dalam pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jadual padat menanti TSG musim ini dengan perlumbaan sulung iaitu Tour of Sharjah dijadualkan berlangsung pada 28 Jan hingga 1 Feb. Kemudian, kita akan menyertai Tour du Rwanda yang menjadi sebahagian daripada siri jelajah Afrika.

"Malah TSG juga akan kembali berentap dalam siri jelajah Eropah seperti penyertaan di Grand Prix Alanya, Grand Prox Velo Alanya dan Grand Prox Justiniano Race di Turki," katanya.

TSG yang dibimbing oleh jurulatih Jeremy Hunt, muncul juara jelajah Asia musim 2021 selepas mengumpul 856 mata daripada 17 kejohanan, sekali gus menempatkan pasukan di kedudukan ke-42 dunia.

Mengulas mengenai penajaan musim ini, Che Ku Mohd Izmuddin berkata, TSG juga berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM9.3 juta iaitu jumlah tertinggi dicatatkan sepanjang penubuhan pasukan sejak 2011.

Katanya, pencapaian tersebut amat membanggakan dan menunjukkan petanda positif, iaitu pada waktu industri sukan banyak terkesan disebabkan penularan Covid-19, pasukannya masih mampu meraih tajaan yang tinggi.

"Selain kerajaan negeri, kita juga mempunyai penaja utama baharu, Polygon iaitu sebuah syarikat jenama pengeluar basikal yang beroperasi di Jawa Timur, Indonesia.

"Penaja lain termasuk Shimano Pte Ltd, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Isports, Garmin, Qr Tech Ventures Sdn Bhd dan KMI Healthcare yang memberikan sumbangan dalam bentuk barangan dan tunai," katanya.

Selain rakan penaja, TSG yang berpengkalan di Kuala Terengganu turut menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan rasmi Turki, Turkish Airline, Tourism Terengganu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - Bernama