Dua pemilik syarikat direman kemuka penyata akaun palsu

Dua suspek yang dibawa SPRM bagi mendapatkan perintah tahanan reman membabitkan kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada syarikat pembersihan di lokap Mahkamah Alor Setar pada Rabu.
Dua suspek yang dibawa SPRM bagi mendapatkan perintah tahanan reman membabitkan kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada syarikat pembersihan di lokap Mahkamah Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Dua lagi pemilik syarikat direman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada syarikat pembersihan antara 2018 dan 2019.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Eliana Ismail membenarkan perintah reman selama enam hari bermula Rabu terhadap dua individu berusia 37 dan 51 tahun itu.

Kedua-dua individu yang diiringi pegawai SPRM tiba di lokap Mahkamah Alor Setar di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini kira-kira jam 10.50 pagi dengan menaiki kereta SPRM.

Sehingga kini jumlah yang direman ialah 17 orang manakala lapan lagi dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua mereka merupakan antara 25 individu ditahan bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, mereka yang ditahan SPRM Kedah melibatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta bagi tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Tambah sumber itu, setakat ini, SPRM masih mencari lagi pihak terbabit berikutan ada yang sudah menukar alamat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat lagi individu termasuk pemilik syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada syarikat pembersihan.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, empat individu berusia antara 37 hingga 51 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah, di sini selepas hadir memberi keterangan berhubung dakwaan mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi melayakkan syarikatnya memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sumber itu turut memaklumkan, seorang individu berusia 44 tahun yang merupakan pengurus ditahan kira-kira jam 8 malam pada Isnin.

Seorang wanita berusia 38 tahun yang merupakan pemilik syarikat ditahan pada jam 10.15 pagi Selasa manakala dua lagi individu yang juga pemilik syarikat berusia 37 tahun dan 51 tahun masing-masing ditahan jam 2.30 petang dan 7.30 malam hari yang sama.

Pada Isnin, seramai 21 suspek berusia antara 31 dan 77 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta bekerja sendiri telah ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah di sini.