Kes Hasanah akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pembelaan tidak membantah permohonan berkenaan.

Tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi akan ditetapkan kemudian, dan kes itu akan disebut di Mahkamah Sesyen pada 21 Mac untuk memaklumkan perkembangan terkini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lagi dokumen diserahkan kepada Hasanah

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhd Ilmami Ahmad manakala Hasanah yang hadir ke mahkamah berbaju kurung hitam diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April 2018 dan 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: