Sijil Pematuhan Cukai syarat dapatkan projek kerajaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan telah memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai dalam pembentangan Bajet 2022 sebagai sebahagian prasyarat untuk syarikat dan para pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan bermula pada 1 Januari 2023.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, setiap pembekal atau syarikat yang ingin mendapatkan projek daripada kerajaan adalah diwajibkan untuk memperolehi Sijil Pematuhan Cukai terlebih dahulu.

"Tanpa sijil ini pembekal atau syarikat berkenaan berkemungkinan tidak akan berjaya mendapat projek tersebut dan ia sudah pasti akan menjejaskan keuntungan mereka kerana tidak lagi berpeluang untuk membuat urusniaga dengan kerajaan.

"Pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai ini akan mewajibkan semua pembekal atau syarikat untuk mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan bagi mengakses sistem perolehan. Bagi pembekal yang tidak mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan, mereka hendaklah membuat permohonan nombor berkenaan kepada LHDN terlebih dahulu.

"Permohonan nombor berkenaan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Daftar di www.hasil.gov.my atau secara manual di mana-mana Kaunter Perkhidmatan Percukaian dan Pejabat Cawangan LHDN," kata kenyataan itu pada Selasa.

Sijil Pematuhan Cukai merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh LHDN sebagai bukti bahawa pembayar cukai telah memfailkan dan membayar semua cukai yang perlu dibayar sewajarnya.

Cadangan ini bukanlah satu amalan baharu tetapi ia telah lama diamalkan secara meluas di negara-negara lain di dunia seperti United Kingdom (UK), Ireland, Singapura, Fiji, Afrika Selatan dan sebagainya.

Menurut laporan daripada 'Organisation for Economic Co-operation and Development' (OECD), pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai telah berjaya meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai dan ia merupakan langkah berkesan untuk mencegah ketirisan hasil cukai.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut menegaskan langkah memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai ini juga akan mendisiplinkan semua pembekal terutamanya syarikat yang ingin mendapatkan kontrak atau tender daripada kerajaan agar patuh kepada undang-undang percukaian.

"Ia juga mampu memperluaskan asas cukai pendapatan apabila setiap pembekal dan syarikat akan memastikan mereka mempunyai fail cukai dengan LHDN dan membuat pengisytiharan cukai pada setiap tahun serta melunaskan amaun cukai yang dikenakan terhadap mereka.

"Keadaan ini sekali gus akan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang selama ini patuh kepada undang-undang cukai," kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, terdapat dua kriteria khusus yang diambil kira oleh LHDN bagi pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai.

"Kriteria berkenaan pematuhan yang baik dalam hal pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan pematuhan yang baik dalam hal bayaran cukai pendapatan.

"Dalam hal pematuhan bayaran cukai pendapatan, mana-mana pembekal atau syarikat yang telah diberikan kelulusan untuk pembayaran cukai secara ansuran turut akan dikategorikan sebagai pembayar cukai yang patuh dengan syarat mereka mestilah mematuhi jadual pembayaran ansuran yang telah ditetapkan oleh LHDN.

"Bagi pembekal atau syarikat yang tidak memenuhi kriteria pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai yang ditetapkan oleh LHDN juga berpeluang mendapatkan sijil tersebut.

"Ia kerana, Kementerian Kewangan telah menetapkan bagi kes-kes tidak patuh yang disebabkan oleh isu teknikal (rayuan), kes-kes mahkamah dan sebab-sebab lain, Sijil Pematuhan Cukai boleh dikeluarkan berdasarkan merit kes dan juga tertakluk kepada kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kewangan," jelasnya.

Menurut kenyataan itu, sebagai usaha memudahkan urusan pengeluaran sijil, LHDN akan menyediakan sistem permohonan agar semua permohonan oleh pembekal dan syarikat boleh dibuat secara dalam talian mulai Januari 2023.

"Tempoh sah laku sijil ini pula ialah setahun, maknanya pembekal boleh menggunakan Sijil Pematuhan Cukai yang sama untuk membida kontrak dengan mana-mana agensi kerajaan dalam tempoh satu tahun sijil tersebut dikeluarkan.

"Setelah tempoh itu tamat, pembekal atau syarikat boleh membuat permohonan Sijil Pematuhan Cukai yang baharu," kata kenyataan itu.