Agihan BWI di Selangor dijangka selesai sebelum 31 Januari

Jumlah pendaftaran bagi permohonan bantuan BWI di Selangor meningkat kepada 64,671.
Jumlah pendaftaran bagi permohonan bantuan BWI di Selangor meningkat kepada 64,671.
A
A
A

DENGKIL - Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Selangor berusaha untuk memastikan supaya agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) di negeri tersebut dapat diselesaikan sebelum 31 Januari ini.

Pengarah Pembangunan ICU Selangor, Datuk Rosli Isa berkata, usaha mencapai sasaran tersebut akan dilakukan dengan kerjasama yang erat bersama pejabat daerah di kawasan terlibat.

Beliau berkata, setakat Isnin, seramai 27,904 ketua isi rumah di Selangor telah menerima bantuan BWI berjumlah RM1,000.

"Untuk pemberian BWI, kita telah mencapai agihan sebanyak 97 peratus di enam daerah utama di Selangor yang terkesan banjir," katanya ketika ditemui pusat pemberian bantuan banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun, Rosli turut memaklumkan bahawa jumlah pendaftaran bagi permohonan bantuan BWI di Selangor didapati telah meningkat kepada 64,671.

Beliau berkata, ICU yang merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri juga akan memastikan supaya bantuan tersebut sampai kepada semua penerima bantuan meskipun ada antara mereka tidak dapat hadir di pusat pemberian pada hari ditetapkan atas faktor tidak dapat dielakkan.

"Berdasarkan laporan harian sebelum ini, untuk makluman, tidak semua (penerima bantuan) datang. Ia mungkin disebabkan faktor bekerja dan sebagainya," ujarnya.

Tambah beliau, kadar agihan peruntukan pada hari bekerja juga didapati agak rendah berbanding ketika hari minggu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rosli berkata, penerima bantuan BWI di pusat pemberian di sini turut menerima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan (BPBK) sebanyak RM2,500.

Katanya, pemberian BPBK yang mula diagihkan pada Isnin itu akan diberikan secara serentak bersama dengan BWI.

Rosli berkata, bagi mempercepatkan proses agihan kedua bantuan tersebut, ICU juga merancang untuk menyalurkan sebahagian besar bantuan berkenaan melalui kaedah pindahan dana elektronik (EFT).

Menurut beliau, secara keseluruhan, kadar agihan bagi kedua-dua bantuan tersebut adalah sebanyak 43.1 peratus.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, penyampaian bantuan di pusat pemberian di sini membabitkan seramai 1,700 ketua isi rumah dari kawasan terjejas banjir di kawasan Bukit Changgang dan Labohan Dagang.

Katanya, selain bantuan BWI dan BPBK, mangsa banjir di sini turut menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000.