CAAM luluskan dua organisasi latihan juruterbang kawalan jauh

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengeluarkan Siji Kelulusan (COA) kepada Akademi UAV Asia Sdn Bhd dan Kumpulan Air Asia Bhd sebagai Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (ATO-RPTO).

Sebuah ATO-RPTO menilai keupayaan juruterbang kawalan jauh terhadap set khusus keperluan dan isu yang berkaitan dengan sijil.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata, Akademi UAV Asia dan Kumpulan Air Asia menerima RPTO COA mengikut peraturan 64 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang membenarkan mereka untuk membuat peperiksaan atau ujian dan menyediakan apa-apa kursus latihan dan pengajaran yang berdasarkan kepada spesifikasi latihan yang ditetapkan.

“Perkara ini sebahagian daripada komitmen CAAM dalam memberikan sokongan kepada UAS (Sistem Udara Tanpa Pemandu) atau industri dron dengan menyediakan satu asas yang kuat bagi membolehkan juruterbang kawalan jauh diberikan latihan sepenuhnya dengan skil yang diperlukan dengan menjalani latihan komprehensif juruterbang kawalan jauh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Chester berkata, Akademi UAV Asia yang telah berada dalam industri don sejak tiga tahun lepas dan Kumpulan Air Asia sebuah syarikat penerbangan tambang murah multinasional, memenuhi standard, keperluan dan prosedur berkaitan peruntukan untuk RPTO yang dibenarkan oleh CAAM.

Beliau memberitahu, Akademi UAV Asia menerima keluluskan untuk kursus latihan yang meliputi RCoC-B (asas) yang membenarkan kesemua operasi ‘Visual Line of Sight (VLOS) dijalankan di bawah Kelulusan Projek UAS Khas dan Modul 2 (AGR) atau Operasi Pertanian UAS yang membenarkan pemegang sijil untuk menjalankan operasi untuk kerja-kerja Operasi Pertanian UAS.

“Kumpulan Air Asia pula menerima kelulusan untuk kursus latihan yang meliputi RCoC-B (asas), Modul 1 EVLOS (operasi Extended Visual Line of Sight), Sistem Pengurusan Keselataman (SMS) dan Pengurusan Sumber Krew (CRM).

“Dengan peningkatan jumlah ATO-RPTO di Malaysia dan lebih ramai juruterbang kawalan jauh diberikan sijil, satu kerangka kerja perundangan dan kurikulum standard yang diluluskan CAAM akan memberikan keyakinan tambahan kepada organisasi dan industri untuk menambah pelaburan ke dalam teknologi dron,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aktiviti dron di Malaysia pada masa ini akan terletak di bawah Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR 2016) dan tiga Arahan Penerbangan Awam (CAD). - Bernama