Sektor pembuatan Malaysia catat nilai jualan tertinggi

Sektor pembuatan Malaysia catat nilai jualan tertinggi iaitu RM142.4 bilion dengan pertumbuhan 18.8 peratus pada November 2021, berbanding dengan bulan yang sama 2020. - Foto 123RF
Sektor pembuatan Malaysia catat nilai jualan tertinggi iaitu RM142.4 bilion dengan pertumbuhan 18.8 peratus pada November 2021, berbanding dengan bulan yang sama 2020. - Foto 123RF
A
A
A

SEKTOR pembuatan Malaysia mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM142.4 bilion dengan pertumbuhan 18.8 peratus pada November 2021, berbanding dengan bulan yang sama 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOMS).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan ini meningkat sebanyak 1.2 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan nilai jualan pada bulan ini dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (29.0 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (20.7 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk elektrik dan elektronik (17.8 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik serta optikal,” katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Pembuatan Bulanan November 2021 pada Isnin.

Beliau berkata, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.7 peratus kepada jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 22.2 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 11.0 peratus pada November 2021 berbanding dengan bulan sama tahun 2020.

Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan, katanya.

Mohd Uzir berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 0.2 peratus dan 3.9 peratus.

Selain itu, beliau berkata jumlah pekerja sektor pembuatan pada November 2021 adalah 2,253,574 orang, meningkat 2.6 peratus berbanding 2,195,488 orang pada November 2020.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan ini disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (5.0 peratus); produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (3.7 peratus) serta produk makanan, minuman dan tembakau (2.3 peratus), katanya.

Perangkaan tersebut turut menjelaskan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,535.5 juta, meningkat 4.8 peratus atau RM345.2 juta pada November 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, selain itu, nilai jualan per pekerja meningkat 15.7 peratus kepada RM63,189 berbanding bulan yang sama 2020 (November 2020: RM54,599).

“Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah RM3,344 pada November 2021,” tambahnya.

Bagi tempoh Januari hingga November 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.4 peratus kepada RM1,410.8 bilion berbanding tempoh yang sama 2020.

Bilangan pekerja serta gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus (2.25 juta orang) dan 2.8 peratus (RM81.7 bilion).

“Nilai jualan per pekerja bagi sebelas bulan pertama 2021 turut bertumbuh 12.5 peratus kepada RM626,036,” jelasnya. - Bernama