NGO Thailand kumpul sumbangan bantu mangsa banjir

Zuwairi (dua dari kanan) bersama Siti Zailah (tiga dari kanan) bergambar bersama ketika majlis penyerahan sumbangan daripada NGO Thailand kepada Yayasan Al-Manjie di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Sabtu.
Zuwairi (dua dari kanan) bersama Siti Zailah (tiga dari kanan) bergambar bersama ketika majlis penyerahan sumbangan daripada NGO Thailand kepada Yayasan Al-Manjie di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Bencana banjir yang melanda negara pada Disember lalu turut mendapat perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Thailand.

Pengasas Yayasan Al-Manjie, Zuwairi Japri Al-Manjie berkata, melalui kerjasama dengan kerajaan Thailand dan NGO di sana, mereka berjaya mengumpul sumbangan lebih RM600,000 untuk disampaikan kepada mangsa banjir terlibat.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM150,000 adalah sumbangan daripada NGO Thailand bagi pembelian beras, pakaian dan telekung dan selebihnya daripada rakyat negara ini.

"Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama baik daripada kerajaan Thailand yang turut memudahkan urusan membawa masuk barangan sumbangan ke Malaysia melalui pintu sempadan," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan daripada NGO Thailand kepada Yayasan Al-Manjie di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Sabtu.

Majlis penyerahan yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Sementara itu, Siti Zailah mewakili kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand kerana telah memudahkan urusan pelbagai pihak termasuk NGO Thailand dan Yayasan Al-Manjie.

Katanya, keprihatinan ini amat besar maknanya kerana ia adalah bukti hubungan baik antara dua negara berjiran.

"Sumbangan yang diterima ini akan diagihkan terus kepada mangsa banjir di semua negeri terjejas yang akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

"Antara barangan tersebut adalah 3,000 unit kit kebersihan, 3,000 biji bantal, 1,500 unit selimut, 1,000 unit tikar, 1,000 unit toto dan 1,000 unit alas toto," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan sebanyak RM35 Juta bagi memastikan keperluan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara mencukupi.

"Alhamdulillah proses agihan sumbangan dan bantuan setakat ini berjalan lancar termasuk bayaran wang ihsan RM1,000 kepada keluarga terjejas," katanya.