780 calon duduki Peperiksaan Kompetensi Profesional 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 780 calon menduduki Peperiksaan Kompetensi Profesional 2026 (PCE 2026) anjuran Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Peperiksaan itu merupakan antara usaha berterusan memastikan jurutera yang ingin menjalankan amalan kejuruteraan profesional tertentu memenuhi tahap kompetensi ditetapkan bagi melindungi keselamatan serta kepentingan awam.
LJM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, peperiksaan tahunan itu berlangsung serentak di tiga lokasi, iaitu Bangunan Peperiksaan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang melibatkan 649 calon.
Dua lokasi lain ialah Swinburne University of Technology, Kuching, Sarawak dengan 76 calon dan Bangunan Institut Latihan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Kota Kinabalu membabitkan 55 calon.
Menurut kenyataan itu, kompetensi jurutera bukan sekadar berkaitan kelayakan profesional, sebaliknya mempunyai kaitan langsung dengan keselamatan masyarakat.
Ini khususnya apabila keputusan teknikal melibatkan reka bentuk, pembinaan dan pembangunan infrastruktur yang digunakan orang ramai.
Sehubungan itu, PCE menjadi antara mekanisme penilaian kompetensi bagi Jurutera Profesional (PE) yang berhasrat mendapatkan Sijil Amalan untuk menjadi Jurutera Profesional dengan Sijil Amalan (PEPC).
Jurutera Profesional ialah jurutera yang memenuhi syarat pendaftaran profesional ditetapkan LJM, termasuk kelayakan akademik, pengalaman dan penilaian profesional.

Sementara itu, PEPC merupakan jurutera profesional yang memenuhi syarat tambahan untuk memperoleh Sijil Amalan bagi menjalankan amalan kejuruteraan profesional tertentu yang dikawal selia di bawah undang-undang.
Antara tanggungjawab berkaitan termasuk menyediakan, memperakukan dan mengemukakan pelan, reka bentuk serta dokumen kejuruteraan kepada pihak berkuasa, tertakluk kepada bidang kompetensi dan keperluan perundangan berkuat kuasa.
Bagaimanapun, LJM menjelaskan tidak semua Jurutera Profesional diwajibkan memiliki Sijil Amalan kerana keperluan itu bergantung kepada skop perkhidmatan serta tanggungjawab profesional yang dilaksanakan.
PCE merangkumi Kertas Umum yang menilai kefahaman calon mengenai perundangan, etika dan tanggungjawab profesional, selain Kertas Teknikal yang menguji kompetensi berdasarkan bidang pengkhususan kejuruteraan masing-masing.
Penilaian berkenaan penting kerana keputusan kejuruteraan bukan sahaja melibatkan pematuhan spesifikasi teknikal, malah boleh memberi kesan terhadap keselamatan pengguna, kebolehpercayaan infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam menghadapi pembangunan infrastruktur yang semakin kompleks, peralihan tenaga dan kemajuan teknologi, keupayaan jurutera membuat keputusan secara kompeten, beretika serta bertanggungjawab terus menjadi keperluan penting bagi menyokong pembangunan negara yang selamat dan mampan.
Sebagai badan kawal selia profesion kejuruteraan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967, LJM komited memastikan standard kompetensi, integriti dan akauntabiliti profesional terus dipelihara demi melindungi keselamatan serta kepentingan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
