Banjir: MAIS peruntuk RM38.1 juta kepada mangsa

Abdul Aziz (kiri) menyampaikan barangan perkakasan rumah kepada mangsa banjir di Kampung Sungai Lui pada Sabtu.
Abdul Aziz (kiri) menyampaikan barangan perkakasan rumah kepada mangsa banjir di Kampung Sungai Lui pada Sabtu.
A
A
A

HULU LANGAT - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan bantuan sebanyak RM38.1 juta kepada mangsa banjir di Selangor yang terjejas pada 17 Disember lalu.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peruntukan itu daripada agensi dan anak syarikat MAIS sepeti Bailtulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd.

Menurut beliau, penyaluran sumbangan akan diagihkan menerusi agensi terlibat termasuk RM37.17 juta melalui LZS, RM300,000 melalui YIDE dan RM55,000 oleh Bakti Suci Holding Sdn Bhd.

"RM250,000 akan diagihkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) dan selebihnya diagihkan oleh MAIS sendiri.

"Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa banjir di bawah peruntukan MAIS dan LZS, " katanya pada program sumbangan mangsa banjir di Sungai Lui pada Sabtu.

Beliau berkata, MAIS turut menerima sumbangan dana dan makanan asas daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan pusat zakat negeri untuk membantu mangsa banjir.

"Antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menyalurkan RM3 juta bagi membina semula rumah terlibat banjir khususnya kepada asnaf dan fakir.

"Selain itu, Majlis Agama Islam Perlis menyumbang 200 kotak makanan asas, Majlis Agama Islam Johor sebanyak 2,000 kotak makanan dan Lembaga Zakat Kedah menyumbangkan 12,000 kampit beras," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Majlis Agama Islam Sabah menyumbang dana RM100,000, Majlis Agama Islam Perak; RM150,000 dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang bersama Zakat Pulau Pinang masing-masing menyalurkan dana sebanyak RM150,000.

"MAIS memanjatkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada MAIN serta pusat zakat negeri atas sumbangan bagi membantu mangsa banjir.

"Sehingga kini, MAIS telah mengagihkan sumbangan dan bantuan barangan yang diterima ke seluruh daerah terlibat banjir dengan kerjasama jabatan-jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS kepada mangsa, sekolah, masjid, surau dan institusi tahfiz yang terjejas, " katanya.

Jelas beliau, bantuan terdiri daripada wang tunai, set makanan asasi, keperluan asas, set pakaian persekolahan, pembersihan dan baik pulih kerosakan.