Kehadiran Parti Bangsa Malaysia tidak gugat Bersatu

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

CHANGLUN - Jumlah keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terjejas walaupun dengan kehadiran parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilancarkan penghujung tahun lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah ahli parti tersebut meningkat dari semasa ke semasa dan keahlian parti itu yang direkodkan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) bulan lalu hampir mencecah 600,000 orang.

Menurutnya, perkembangan politik di negara ini yang memihak kepada parti gabungan kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak secara tidak langsung memberikan kesan positif kepada Bersatu.

"(Bersatu) tidak terjejas setakat ini, kita semakin sihat dalam politik negara dan sebenarnya yang agak terdesak adalah kawan-kawan dalam Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Pada PRN di Melaka dan Sarawak, keputusan yang dihadapi ahli gabungan PH boleh dikatakan bahawa sokongan mereka semakin menurun," katanya pada sidang akhbar di Kampung Changkat Setol, dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan PTPTN Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, dakwaan bahawa beberapa kepimpinan tertinggi Bersatu akan menyertai PBM hanyalah satu spekulasi yang telah dimainkan sejak setahun yang lalu.

Dalam pada itu, berhubung desas-desus rombakan kabinet pula, Wan Saiful berkata, perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel Berkaitan:

"Elok serah kepada Perdana Menteri untuk bincang dengan pimpinan atas dan semua parti kalau komen, ia akan jadi isu yang jauh lebih besar daripada sepatutnya," ujarnya.

Media melaporkan Ismail Sabri pada Selasa berkata, tidak akan ada rombakan kabinet setakat ini, sebaliknya tumpuan kerajaan kini kepada isu yang mencengkam rakyat terutamanya bencana banjir dan pandemik Covid-19.

Menyifatkan isu rombakan kabinet hanya spekulasi semata-mata, beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya timbul memandangkan negara masih dilanda bencana banjir dan Covid-19 yang belum selesai.