Dua penunjuk perasaan maut, 54 anggota keselamatan cedera di Sudan

Dua penunjuk perasaan terbunuh dan 54 anggota keselamatan cedera dalam demonstrasi di ibu negara Khartoum. - Foto AP
Dua penunjuk perasaan terbunuh dan 54 anggota keselamatan cedera dalam demonstrasi di ibu negara Khartoum. - Foto AP
A
A
A

KHARTOUM - Dua penunjuk perasaan terbunuh dan 54 anggota keselamatan cedera dalam demonstrasi di ibu negara Khartoum pada Khamis, lapor Xinhua memetik kenyataan polis tempatan.

Enam puluh suspek ditangkap ketika tunjuk perasaan dan tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka, kata polis dalam satu kenyataan.

Tunjuk perasaan diadakan pada Khamis di ibu kota Sudan bagi menuntut supaya kuasa pemerintahan dikembalikan kepada kerajaan awam.

Peserta demonstrasi cuba berarak ke istana presiden, tetapi pasukan keselamatan bertindak menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan keadaan, kata seorang saksi.

Perkhidmatan komunikasi dan internet turut terganggu di Khartoum menjelang hari demonstrasi.

Anggota keselamatan bertindak menutup jalan utama dan pasukan tentera dikerah sekitar ibu pejabat perintah am ketenteraan serta istana presiden.

Jambatan menghubungkan tiga bandar utama Khartoum, Omdurman dan Bahri turut ditutup menjelang demonstrasi, tetapi jambatan Al-Halfaya dan Suba dibuka kepada lalu lintas.

Pada 2 Januari, Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya ketika gelombang protes melanda negara sejak itu beberapa minggu kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Sudan mengalami krisis politik selepas Panglima Angkatan Tentera Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan, mengisytiharkan darurat pada 25 Oktober dan membubarkan Majlis Berdaulat dan kerajaan.

Pada 21 November, Al-Burhan memecat Perdana Menteri, Abdalla Hamdok, kemudian menandatangani perjanjian politik, termasuk mengembalikan semula jawatan perdana menteri, tetapi perjanjian itu gagal meredakan keadaan. - Bernama