Warga No 2 Skuadron TUDM tabur bakti untuk komuniti

A
A
A

Mejar Hassan Basri dan Abdul Rahim saling bertukar cenderahati sambil disaksikan Pengurus Tugas-tugas Khas Sinar Harian, Hashim Merana Anang (kiri) selepas selesai Program Jiwa Murni, semalam.
Mejar Hassan Basri dan Abdul Rahim saling bertukar cenderahati sambil disaksikan Pengurus Tugas-tugas Khas Sinar Harian, Hashim Merana Anang (kiri) selepas selesai Program Jiwa Murni, semalam.

Mereka berganding bahu bersihkan SMK Seksyen 19 daripada kesan banjir

SHAH ALAM – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 menjadi detinasi Program Jiwa Murni No 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang bagi tahun 2022.

Program khidmat komuniti yang membabitkan para pegawai dan anggota turut mendapatkan kerjasama akhbar Sinar Harian dan Kelab Syukur Malaysia.

Pegawai Memerintah No 2 Skuadron, Mejar Hassan Basri Tajul Arifin (TUDM) berkata, program tersebut merupakan inisiatif serta aktiviti terancang yang dijalankan bagi mendekati serta meningkatkan hubungan TUDM amnya dan No 2 Skuadron khasnya bersama masyarakat umum.

Warga No 2 Skuadron dan sukarelawan mengecat dinding sekolah selepas terkesan akibat banjir.
Warga No 2 Skuadron dan sukarelawan mengecat dinding sekolah selepas terkesan akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pemilihan lokasi jiwa murni tersebut telah dilakukan berikutan musibah banjir yang berlaku pada 18 Disember yang lalu.

“Selain tugas utama menjaga keamanan dan keselamatan negara, warga TUDM terutamanya No 2 Skuadron, kami tetap menjalinkan ukhwah dengan masyarakat sekeliling dan Program Jiwa Murni ini adalah sebahagian daripada intepretasi dalam mencapai matlamat itu.

“Di samping itu, ia juga sebagai tanda keprihatinan kami terhadap bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir termasuk juga pihak sekolah yang terkesan dengan bencana alam itu.

“Walaupun sumbangan ini cuma kecil namun kami berharap ia mampu memberikan kesan yang besar kepada pihak pengurusan SMK Seksyen 19,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, semalam.

Mereka turut menyusun atur meja dan kerusi dalam kelas di SMK Seksyen 19, semalam.
Mereka turut menyusun atur meja dan kerusi dalam kelas di SMK Seksyen 19, semalam.

Ujar Mejar Hassan Basri lagi, pada program kali ini, warga No 2 Skuadron, sukarelawan Kelab Syukur Malaysia dan guru-guru, berganding bahu membersihkan kawasan sekolah, mengecat dinding dan menyusun atur meja dalam kelas.

Sementara itu, pengetua sekolah, Abdul Rahim Khalid menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai, anggota No 2 Skuadron dan para sukarelawan yang sanggup bermandi peluh membantu mengindahkan kembali SMK Seksyen 19.