780 kes baharu dirujuk ke pusat rawatan awal

Dr Sahruddin menunjukkan peta lokasi zon yang terlibat dengan pencemaran sisa bahan kimia selepas sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana MPPG.
Dr Sahruddin menunjukkan peta lokasi zon yang terlibat dengan pencemaran sisa bahan kimia selepas sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana MPPG.
A
A
A

PASIR GUDANG – Sebanyak 780 kes baharu telah dirujuk ke pusat rawatan awal, Medic Base sehingga 12 tengah malam tadi namun hanya 202 individu sahaja yang telah mendapat rawatan susulan di hospital dan hanya 113 yang telah dimasukkan ke hospital.

Exco Kesihatan Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, seramai 531 mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) telah dibenarkan pulang semalam ke rumah masing-masing susulan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim di sini.

Menurutnya, jumlah pesakit pada 14 Mac adalah seramai 982 mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik-klinik di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Sementara orang awam yang ditempatkan di Medic Base di Dewan Taman Pasir Putih

dan Dewan Taman Mawar telah dipindahkan ke Stadium Tertutup Pasir Gudang pada jam 6 petang semalam bagi memudahkan urusan rawatan, di satu tempat yang sama.

"Walaupun hari ini jumlah pesakit menurun tidak bermakna esok akan turun sebab ia melibatkan udara. Penutupan sekolah, tadika taska antara faktor menyebabkan kemasukan pesakit berkurangan.

"Penduduk yang datang ke dewan juga bukan sepenuhnya mengalami simptom pencemaran sisa kimia ini ada yang demam, batuk. Walaupun jumlah pesakit meningkat tetapi rujukan tidak," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Tambahnya, pemindahan orang ramai ke Stadium Tertutup Pasir Gudang diambil selepas pemetaan semula dilakukan berikutan Dewan Pasir Putih berada di dalam kawasan 'red zone'.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, tindakan awal membuka pusat saringan di dewan berkenaan ekoran lokasinya yang berdekatan dengan sekolah.

"Apabila kita buat 'maping' balik kita dapati Dewan Pasir Putih berada di 'red zone' jadi kena pindah ke stadium. Orang akan tanya kenapa lambat sangat?

"Kerana masa itu jumlah pesakit tidak ramai dan dewan disediakan untuk agensi-agensi. Bila kita lihat pesakit ramai kita pindah ke stadium dan ia tidak ada isu semakin teruk,"katanya lagi.

Dr Sahruddin berkata, kerja-kerja pembersihan yang dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih diteruskan sehingga kini di mana ia dilakukan selama 24 jam.

Beliau meminta orang ramai agar tidak menghampiri kawasan kejadian semasa kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"Sehingga semalam, tiada laporan yang diterima mengenai terdapat pencemaran air tersebar sehingga ke Sungai Tiram dan tiada juga laporan mengatakan bahawa pencemaran tersebut telah merebak ke Johor Port.

"Kerajaan negeri juga menyarankan agar orang awam mendapatkan maklumat yang sahih seperti dari JAS, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

(DOSH) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

"Bagi mendapatkan maklumat tepat orang ramai boleh hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 07-2522143 atau 07-2532143 atau boleh terus ke Aras 3, Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang,"katanya lagi.