Maritim siasat insiden 'kapal hantu' hanyut ke perairan negara

Winposh Rampart yang dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju Yang Pu,China dikatakan telah terputus tali ketika ditunda oleh kapal Limin Rosmina milik syarikat perkapalan Indonesia pada Isnin lalu.
Winposh Rampart yang dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju Yang Pu,China dikatakan telah terputus tali ketika ditunda oleh kapal Limin Rosmina milik syarikat perkapalan Indonesia pada Isnin lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyiasat insiden 'kapal hantu' yang berisiko mengancam keselamatan setelah hanyut sehingga memasuki perairan negara pada Isnin lalu.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenalpasti punca insiden membabitkan kapal Winposh Rampart yang dikatakan terputus tali ketika ditunda menyebabkan ia hanyut sehingga 120 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Kita sedang menyiasat sama ada insiden itu berpunca daripada sebarang kecuaian sehingga mengundang ancaman terhadap keselamatan pelantar-pelantar minyak dalam perairan negara.

"Jika tiada perlanggaran dari segi undang-undang, Winposh Rampart akan diserahkan semula kepada pemiliknya setelah semua langkah-langkah keselamatan dipatuhi," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya, Winposh Rampart yang ditunda sejak Selasa lalu selamat tiba di Kawasan Berlabuh Kemaman (Kemaman Suppy Based) sekitar jam 2 pagi pada Khamis.

Katanya, 'kapal hantu' sepanjang 72 meter dan berat 2,855 tan yang ditunda oleh kapal Icon Lotus milik Icon Offshore Berhad itu mengambil masa lebih 40 jam untuk tiba di lokasi berkenaan.

"Maritime Rescue Coordination Center’ (MRCC) Putrajaya bersama Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia berjaya mengendalikan situasi cemas bagi mengelak kapal berkenaan merempuh pelantar-pelantar minyak di perairan negara.

"MRCC Maritim Malaysia turut menyalurkan maklumat berhubung kejadian ini kepada operator-operator pelantar minyak dan gas di sekitar perairan Pantai Timur terutama di perairan Terengganu sebagai peringatan awal serta persediaan menghadapi sebarang kemungkinan buruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, Winposh Rampart yang dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju Yang Pu,China dikatakan telah terputus tali ketika ditunda oleh kapal Limin Rosmina di perairan Vietnam sekitar jam 3.15 petang sebelum hanyut memasuki perairan negara.