'Kapal hantu' hanyut ancam keselamatan pelantar minyak

Kapal Winposh Rampart yang hanyut di perairan negara.
Kapal Winposh Rampart yang hanyut di perairan negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah kapal yang sedang ditunda oleh sebuah lagi kapal terputus tali ketika dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju ke Yang Pu, China di kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu pada Isnin.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, dalam kejadian jam 3.15 petang itu, kapal Winposh Rampart tanpa kru sedang ditunda oleh sebuak kapal milik syarikat perkapalan Indonesia.

Menurutnya, ketika kedua-dua kapal berkenaan berada di perairan Vietnam, tali yang digunakan untuk menunda telah terputus berikutan cuaca buruk menyebabkan kapal Winposh Rampart yang ditunda hanyut hingga memasuki perairan Malaysia.

"Analisis penilaian risiko mendapati, kapal Winposh Rampart berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan bagi menanganinya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zubil berkata, pihaknya kemudian telah mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal Winposh Rampart ke lokasi yang lebih selamat.

Enam anggota PTK Maritim Malaysia bergerak ke lokasi kapal Winposh Rampart hanyut untuk memberi bantuan.
Enam anggota PTK Maritim Malaysia bergerak ke lokasi kapal Winposh Rampart hanyut untuk memberi bantuan.

"Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia telah diatur gerak bersama pesawat AW139 bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut dan risiko kebarangkalian melanggar pelantar," katanya.

Beliau berkata, aset yang terlibat bagi operasi ini adalah Kapal Maritim (KM) Jujur dan Pesawat AW139 bersama enam anggota PTK telah bergerak ke lokasi kapal tersebut hanyut untuk memberi bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Petronas turut menghantar kapal Icon Lotus dan SK Pilot pada jam 10 pagi Selasa bagi memantau serta membantu operasi tersebut," katanya.