Christchurch digempar insiden tembakan di dua masjid

Lokasi di mana insiden tembakan berlaku. - Foto NZ Herald
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND.Polis New Zealand dilapor sedang berdepan dua insiden kritikal di Christchurch apabila penyerang melepaskan tembakan di dua buah masjid.

"Polis sedang menangani laporan tembakan di tengah Christchurch sekitar jam 1.40 tengahari," kata kenyataan polis.

Kejadian berlaku di Masjid Al Noor di tengah Christchurch, berhadapan Hagley Park dan Masjid Linwood di Linwood Avenue.

Pihak polis mengarahkan penduduk agar tidak berada di luar manakala semua sekolah di Christchurch telah ditutup.

Pihak berkuasa juga dilapor mengosongkan kawasan Cathedral Square di mana ribuan kanak-kanak sekolah mengadakan himpunan menangani perubahan iklim.

Dalam pada itu, saksi dilapor melihat sekurang-kurangnya empat orang terbaring berhampiran kawasan masjid.

Seorang lagi saksi mendakwa melihat seorang lelaki memakai topi keledar dan jaket tentera memasuki masjid dan melepaskan tembakan. - GoldCoast Bulletin/BBC