Tiga kanak-kanak antara 6 maut insiden tembakan, kebakaran di AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

WASHINGTON - Enam orang, termasuk tiga kanak-kanak ditemukan mati selepas insiden tembakan dan kebakaran di sebuah kediaman di Tennessee, Amerika Syarikat pada Jumaat, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa.

Kejadian berlaku pada 9 malam Khamis waktu tempatan di kawasan Sequatchie, lapor WTVC-TV, sebuah rangkaian stesen televisyen tempatan.

Anggota polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan di kediaman itu sebelum mendapati rumah itu turut terbakar.

Mangsa ketujuh yang terkena tembakan dimasukkan ke hospital di Chattanooga, menurut Biro Siasatan Tennessee.

Syerif Daerah Marion Bo Burnett memberitahu kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Nashville, untuk bedah siasat.

Burnett dipetik sebagai berkata oleh sebuah lagi saluran berita tempatan, Local 3 News, bahawa Gary Barnett, dipercayai menembak mangsa lain sebelum membunuh dirinya sendiri.

Dua lagi mangsa dewasa dikenali sebagai Regina Barnett dan Britney Perez.

Regina Barnett telah mendapat perintah larangan terhadap suaminya, Gary, kira-kira sebulan yang lalu dan Perez sedang mengunjungi ibunya Regina pada saat kejadian, menurut laporan.

Satu afidavit penangkapan menunjukkan perintah perlindungan itu dikeluarkan selepas Gary Barnett ditahan pada Disember 2022 atas tuduhan serangan domestik yang melibatkan isterinya.

Laporan penangkapan juga menunjukkan bahawa Regina Barnett mendakwa Gary mengancam akan menembaknya dan anjingnya.

Kes Gary Barnett masih tertangguh dan perbicaraan di mahkamah dijadual pada 5 Julai, menurut laporan itu.

Siasatan mengenai insiden itu masih diteruskan. - Bernama/Xinhua