Misi bantuan pasca banjir AADK diperluas

Misi bantuan pasca banjir AADK di Temerloh, Pahang. - Foto FB AADK
Misi bantuan pasca banjir AADK di Temerloh, Pahang. - Foto FB AADK
A
A
A

SHAH ALAM - Misi bantuan pasca banjir yang digerakkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menerusi sukarelawan Skuad Antidadah AADK diperluas di seluruh negara khususnya di negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.

AADK dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) AADK dalam usaha membantu dan meringankan beban mangsa banjir.

"Pada peringkat awal, misi kemanusiaan bantuan pasca banjir oleh Skuad Anti Dadah AADK dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terutamanya di kawasan Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

"Namun, berikutan bencana banjir telah melanda di beberapa negeri dan atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Skuad Antidadah AADK segera diperluas dan digerakkan bagi kerja-kerja sukarelawan pasca banjir," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, setakat Khamis, seramai 475 sukarelawan Skuad Anti Dadah AADK digerakkan di seluruh negara bagi melancarkan misi bantuan pasca banjir melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.

Skuad Antidadah Seberang Prai Tengah Pulau Pinang pula digerakkan ke negeri-negeri terjejas banjir seperti Bentong, Pahang dan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Skuad Anti Dadah AADK Kedah juga mengambil inisiatif turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

"Selain operasi pembersihan di sekitar kawasan dan kediaman penduduk terjejas, Ismail bersama Skuad Anti Dadah AADK Kedah turut mengagihkan bantuan barangan kepada kira-kira 300 keluarga termasuk sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim, mualaf dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: