X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Pengeluaran KWSP perlu berteras alasan ekonomi kukuh: MIER

MIER membantah gesaan yang dibuat oleh pihak tertentu untuk membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan dana tambahan daripada akaun persaraan mereka, menyatakan bahawa pengeluaran tersebut perlu berteraskan alasan ekonomi yang kukuh.Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) membantah gesaan yang dibuat oleh pihak tertentu untuk membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan dana tambahan daripada akaun persaraan mereka, menyatakan bahawa pengeluaran tersebut perlu berteraskan alasan ekonomi yang kukuh.

“KWSP tidak dirangka untuk menangani bencana dan pandemik, sebaliknya, ia bertujuan memastikan pencarumnya menikmati kehidupan yang baik selepas bersara.

“Ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa Malaysia dijangka lebih cepat mencapai taraf masyarakat menua.

“Malaysia hanya tinggal sembilan tahun untuk menjadi negara menua pada 2030 dan pengeluaran KWSP seterusnya akan memberi tekanan tambahan kepada kos penjagaan kesihatan pada masa depan, jaminan pendapatan dan aliran pendapatan selepas persaraan,” katanya dalam kenyataan.

MIER berkata demikian sebagai respons kepada pihak tertentu yang menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran i-Citra sekali sahaja sebanyak RM10,000 untuk pencarum yang terjejas akibat banjir di negara ini.

Pada Ahad, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, KWSP tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian atau langkah untuk mengatasi cabaran berikutan ini akan menjejaskan simpanan persaraan pencarum, terutamanya apabila Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030.

MIER berkata, skim pengeluaran yang dimulakan kerajaan, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, berjumlah RM101 bilion, walaupun dapat memberikan sedikit bantuan kewangan, telah menyebabkan pengurangan dana persaraan yang kritikal bagi sebahagian besar ahli KWSP.

“Pengeluaran besar-besaran itu menyebabkan sebanyak 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, dengan 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam dana persaraan mereka.

“Tahap ini ternyata jauh daripada nilai ambang sebanyak RM240,000 sebagai simpanan menjelang umur 55 tahun untuk ahli menikmati persaraan yang baik,” katanya.

MIER menegaskan bahawa tiga skim pengeluaran KWSP sebelum ini merupakan langkah jangka pendek, yang perlu dielak sejak awal lagi dan tidak boleh diulang.

“Bagi menangani kekangan fiskal jangka pendek yang dihadapi rakyat Malaysia, terdapat justifikasi ekonomi yang kukuh untuk kerajaan menyediakan bantuan tunai tanpa syarat yang mencukupi kepada isi rumah dan syarikat,” katanya.

MIER mencadangkan langkah jangka panjang adalah penting untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan, iaitu kadar caruman KWSP majikan boleh diselaraskan tanpa menambah beban kos buruh majikan.

“Kerajaan boleh meningkatkan sedikit kadar caruman majikan untuk pekerja melebihi had nilai ambang tertentu dan pada masa sama menurunkan kadar untuk mereka di bawah paras nilai ambang,” katanya.

MIER berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan strategi perlindungan sosial dan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas, iaitu perlu ada pelan dan skim luar jangka yang boleh dimulakan dalam menghadapi bencana dan krisis lain.

“Kejadian baru-baru ini telah mengajar kita bahawa kita, sebagai sebuah negara, tidak boleh leka berdasarkan kecemasan dan bencana lain yang tidak dijangka boleh berlaku. Beban daripada kejadian ini lazimnya paling teruk dirasai oleh mereka yang kurang bersedia untuk menghadapinya, dan mereka memerlukan sokongan kerajaan untuk membina semula kehidupan mereka.

“Dana bantuan bencana juga perlu dipertimbangkan. Pada masa sama, liputan dan perlindungan sosial yang mencukupi, terutamanya terhadap mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal, perlu diperkukuh,” menurut badan pemikir ekonomi itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!