Rampasan terbesar daun ketum RM900,000

Mohd Zawawi (dua dari kanan) menunjukkan tempat daun ketum disembunyikan di dalam bot untuk diseludup ke negara jiran.
Mohd Zawawi (dua dari kanan) menunjukkan tempat daun ketum disembunyikan di dalam bot untuk diseludup ke negara jiran.
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar lima tan daun ketum bernilai RM900,000 di kedudukan 2.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah pada awal pagi Selasa.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kes berkenaan merupakan rampasan daun ketum terbesar bagi Maritim Malaysia setakat ini dan nilainya hampir sama dengan jumlah rampasan sepanjang tahun lalu iaitu 5.97 tan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pada jam 1.40 pagi susulan maklumat dan risikan berkaitan perancangan aktiviti menyeludup ketum dalam skala besar di perairan berkenaan.

"Bot Perkasa 1226 yang digerakkan ke lokasi untuk melakukan serbuan mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak keluar dalam keadaan gelap menuju muara Kuala Kedah.

"Sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan memecut bot menuju ke daratan berhampiran," katanya ketika sidang akhbar di Marina Habour, Kuala Kedah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, bot suspek bagaimanapun berjaya dipintas oleh bot Perkasa 1226.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan yang berada dalam bot berkenaan ditahan.

Mohd Zawawi (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Rabu menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di perairan Kuala Kedah.
Mohd Zawawi (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Rabu menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam serbuan di perairan Kuala Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan ke atas bot itu menemui 200 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum yang dianggarkan seberat dua tan.

"Siasatan lanjut ke atas dua suspek terbabit kemudian membawa kepada penemuan 300 bungkusan plastik daun ketum seberat tiga tan di satu kawasan disyaki lokasi pemunggahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah," ujarnya.

Mohd Zawawi berkata, daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan permintaan yang tinggi.

"Harga pasaran semasa di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja. Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu juga menerima upah sebanyak RM700 untuk setiap penghantaran.

"Penyeludup juga didapati menggunakan bot dengan enjin berkuasa tinggi iaitu dua enjin dengan setiap satu berkuasa 115 kuasa kuda berbanding bot lebih kecil dengan satu enjin berkuasa antara 70 hingga 90 kuasa kuda sebelum ini.

"Penggunaan bot tersebut membolehkan penyeludup bergerak lebih pantas ke sempadan negara iaitu dalam masa kurang sejam," jelas beliau.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya turut menemui botol air mineral dalam setiap bungkusan kecil daun ketum yang dipercayai untuk mengekalkan kualiti daun ketum.

"Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kita turut merampas bungkusan daun ketum termasuk bot fiber serta enjin yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun, atau kedua-duanya," kata beliau.