Pengarah, pengurus kilang ditahan kes buang sisa ke Sungai Perembi

Mereka ditahan di kilang berkenaan dalam satu serbuan JAS pada jam 4 petang
Mereka ditahan di kilang berkenaan dalam satu serbuan JAS pada jam 4 petang
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pengurus dan seorang pengarah kilang ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat melepaskan sisa buangan di Sungai Perembi di sini pada Isnin.

Pengarah JAS Johor, Dr Famey Yusoff berkata, kedua-dua suspek lelaki itu merupakan warga tempatan berusia lingkungan 50-an dan 40-an.

"Mereka ditahan di kilang berkenaan dalam satu serbuan JAS pada jam 4 petang.

"Kedua-duanya kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam sejam selepas itu bagi membantu siasatan kerana melepaskan air buangan efluen tidak terolah secara pintasan (bypass) ke Sungai Perembi," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Katanya, tindakan susulan dilakukan dengan mengarahkan kilang itu melakukan penambahbaikan dan menghentikan pembuangan sisa berkenaan.

Berdasarkan siasatan, ujarnya, tiada pencemaran berlaku di sungai berkenaan akibat sisa buangan dari premis tersebut.

Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan kilang berkenaan memproses bahan-bahan yang berasaskan makanan.

Artikel Berkaitan: