Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih

Banjir gelombang ketiga di Terengganu berakhir dengan penutupan PPS terakhir di daerah Kemaman secara rasmi jam 12 tengah hari. - Foto Bernama
Banjir gelombang ketiga di Terengganu berakhir dengan penutupan PPS terakhir di daerah Kemaman secara rasmi jam 12 tengah hari. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Khamis minggu lalu kini pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan banjir (PPS) di Kemaman dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, PPS terakhir yang menempatkan sembilan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor di Kemaman ditutup pada jam 12 tengah hari.

Mohd Rosman
Mohd Rosman

"Banjir gelombang ketiga di Terengganu boleh dikatakan telah berakhir dengan penutupan PPS terakhir di daerah Kemaman secara rasmi jam 12 tengah hari.

"Bagaimanapun, semua pihak masih bersiap siaga untuk berdepan perubahan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut kali ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, keadaan cuaca buat masa ini mendung dan berangin di kebanyakan tempat.

Katanya, berdasarkan ramalan, Terengganu dijangka menerima tiga hingga empat episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut bagi tempoh 2021 hingga 2022.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan: