'Hanya menanti rebah'

Wan Zakaria melihat keadaan pantai yang semakin menghampiri kediamannya di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus.
Wan Zakaria melihat keadaan pantai yang semakin menghampiri kediamannya di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Penduduk di kawasan pesisir pantai di sini diselubungi kebimbangan berikutan masalah hakisan semakin teruk terutama sejak musim tengkujuh kali ini.

Seorang peniaga, Salahudin Azhar, 24, berkata, angin kuat serta air pasang besar kebelakangan ini menyebabkan keseluruhan kawasan yang ditambak pasir menghala ke pantai di belakang kedainya di Kampung Kolam, Mengabang Telipot di sini musnah.

"Hakisan teruk berlaku sejak dua minggu lalu menyebabkan pasir yang baru siap ditambak menghala ke pantai sejak bulan lalu dihanyutkan ombak sekelip mata.

"Saya jangka projek menambak pasir yang disiapkan kira-kira 200 meter menghala ke pantai sebelum musim tengkujuh boleh bertahan lama, sekarang tiada apa yang tinggal. Jarak antara kedai saya dengan laut kini tinggal kira-kira empat meter sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Salahudin dia terpaksa menutup kedai makannya kerana bimbang masalah hakisan semakin buruk.

Keadaan hakisan yang berlaku di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di Kuala Nerus.
Keadaan hakisan yang berlaku di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di Kuala Nerus.

"Sudah tiga hari saya terpaksa tutup kedai kerana bimbang keadaan cuaca tidak menentu dan ombak besar. Laluan depan kedai juga ditutup kepada kenderaan," katanya.

Menurut Salahudin, masalah hakisan di kawasan itu berlarutan saban tahun dan dilihat semakin meruncing sejak tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, masalah hakisan di sini tidak seburuk tahun 2019 dan 2020. Ketika itu, sebahagian kedai ini musnah akibat dipukul ombak dengan anggaran kerugian sekitar RM15,000," katanya.

Sementara itu, masalah hakisan yang berlaku di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, dikhuatiri memusnahkan sebuah chalet di kawasan itu.

Sementara itu, pekerja chalet, Muhamad Fakrul Mohd Jailani, 23, berkata, pada Jumaat lalu, dua buah pondok rehat pengunjung dan pagar chalet hilang sekelip mata dipukul ombak.

Katanya, sebuah bilik penginapan kini hanya menunggu masa rebah sekiranya air pasang besar masih melanda.

"Sebelum musim tengkujuh, jarak dari chalet ke pantai masih jauh kira-kira enam meter tetapi semakin hampir dan tebingnya juga telah runtuh.

"Kerosakan juga dianggarkan mencecah RM30,000," katanya sambil menyifatkan ia merupakan kejadian terburuk pernah berlaku dalam tempoh empat tahun lalu.

Muhamad Fakrul berkata, benteng yang sebelum ini dibina di sekitar kawasan chalet juga tidak mampu menahan hakisan yang berlaku saban hari.

Sebahagian laluan di Kampung Kolam menghala ke Kg Pengkalan Maras di Kuala Nerus ditutup kepada kenderaan akibat masalah hakisan.
Sebahagian laluan di Kampung Kolam menghala ke Kg Pengkalan Maras di Kuala Nerus ditutup kepada kenderaan akibat masalah hakisan.

"Saya bimbang jika keadaan berlarutan, chalet ini juga berisiko untuk runtuh," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Maras, Wan Zakaria Wan Mohamad, 65 berkata, dia tidak dapat melelapkan mata hampir setiap malam sejak musim tengkujuh melanda.

"Saban tahun perkara sebegini berlaku dan setiap malam juga saya tidak tidur lena memikirkan masalah hakisan yang berlaku kerana rumah saya paling hampir dengan pantai di kawasan ini.

"Tiap-tiap tahun pasir akan hilang sebab masalah hakisan. Kali ini dianggarkan sekitar 12 meter dari rumah menghala ke pantai habis sudah dibawa ombak," katanya.

Wan Zakaria atau lebih mesra digelar Pok Din tinggal bersama aank sulungnya, Wan Nor Zatul Fatihah, 37, sejak kematian isteri sembilan tahun lalu.

Ditanya sama ada bersedia untuk berpindah ke kawasan lain sekiranya keadaan semakin buruk, katanya, dia tiada pilihan malah tiada rumah lain selain di situ.

"Nak pindah pun tak tahu nak pergi mana kerana di sini sahajalah kediaman yang saya ada.

"Sebab itu saya berharap sangat agar masalah hakisan ini dapat diselesaikan," katanya.