Kenderaan JPJ iring lori balak elak pemandu lolos timbang berat muatan

Paparan video tular kenderaan JPJ mengiringi beberapa lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan.
Paparan video tular kenderaan JPJ mengiringi beberapa lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Video tular menerusi media sosial memaparkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengiringi beberapa lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan sebenarnya sebahagian Operasi Khas Lori Balak yang dilaksanakan JPJ Kelantan semalam.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan, tindakan kenderaan JPJ mengiringi lori-lori itu untuk ke Stesen Penguatkuasa Mentara, Gua Musang adalah bagi memastikan pemandu lori terlibat tidak meloloskan diri daripada kawalan JPJ seterusnya ke lokasi yang diarahkan untuk menimbang berat muatan.

Menurut kenyataan itu, tindakan terbabit juga merupakan satu daripada prosedur operasi standard (SOP) JPJ bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

"JPJ memandang serius persepsi negatif terhadap JPJ yang didakwa seolah-olah memberi 'perlindungan' kepada kesemua lori balak terbabit. Perkongsian video itu dilihat telah mencalarkan imej JPJ tanpa si pemilik akaun media sosial tersebut mengetahui gerak kerja sebenar JPJ.

"JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis jika didapati tuduhan itu menggugat kredibiliti dan imej JPJ dalam melaksanakan tugas rutin,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:


Menurut kenyataan itu, JPJ menerusi operasi tersebut menahan 30 lori balak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dan bertindak membuat pemeriksaan sebelum kesemua lori berkenaan diarahkan untuk ditimbang di Stesen Penguatkuasa Mentara diringi kenderaan rasmi JPJ.

"Selain itu, JPJ telah mengeluarkan 56 notis kesalahan iaitu 23 notis mengikut Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dua notis mengikut Seksyen 224 APAD 2010 dan 31 notis bagi lain-lain kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Selasa, tular satu video menerusi media sosial memaparkan kenderaan JPJ yang didakwa mengiringi lori balak di Kelantan dan mendapat pelbagai reaksi warganet sekali gus menyeru JPJ serta Kementerian Pengangkutan memberikan penjelasan lanjut mengenainya. - Bernama