Terengganu gagal wujudkan peluang pekerjaan: Raja Bahrin

 Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu mendakwa tindakan kerajaan negeri menghantar ramai rakyat negeri ini bekerja di Selangor merupakan bukti kegagalan Pas mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan sebagaimana dijanjikan.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, tindakan itu juga dianggap sebagai satu pengakuan betapa maju dan dinamiknya negeri Selangor ditadbir Pakatan Harapan (PH) yang selalu dicerca oleh Pas.

“Melalui berbilion ringgit dari hasil minyak dan gas, Pas Terengganu masih buntu idea dan gagal membantu rakyat. Pas hanya tahu menabur janji manis yang tidak terlaksana kerana terlalu asyik bermimpi di siang hari,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Kenyataan tersebut susulan kerajaan negeri mengadakan program pelepasan pekerja Terengganu ke sebuah kilang di Shah Alam, Selangor yang merupakan salah satu usaha mengurangkan indeks pengangguran di negeri ini pada Sabtu.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi PH Terengganu mendakwa, polisi kerajaan negeri Terengganu yang tidak mesra pelabur dan lembab membuatkan ramai pelabur serta pengusaha kilang menjauhi negeri itu.

Jelas beliau, pengumuman semata-mata untuk saham politik seperti sekatan dan garis panduan ketat aktiviti hiburan, riadah dan pelancongan membuatkan syarikat luar memandang negatif untuk melabur membuka kilang serta perusahaan di Terengganu.

“Walaupun Terengganu melahirkan bilangan tertinggi pelajar cemerlang Tingkatan Lima setiap tahun tetapi kerajaan tidak berusaha untuk membantu mereka dalam pendidikan tinggi dan kerjaya.

“Ia seterusnya membuatkan anak muda tidak berpeluang dan tidak berminat bekerja di Terengganu dan ingin berhijrah ke Lembah Klang, negeri ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan sikap demikian, Terengganu akan menjadi 'pesaing sengit kepada Bangladesh' sebagai pengeksport pekerja teramai dunia keluar dari negeri sendiri,” katanya.