Banjir: 7,527 anggota bomba, 438 aset diatur gerak ke enam negeri

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 7,527 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta 438 aset telah diatur gerak ke enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Sabah yang masih terjejas banjir.

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, anggota kini berada dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di Pantai Barat yang dijangka mengalami fenomena air pasang besar sehingga 5 Januari depan.

“Insya-ALLAH, kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat berada dalam keadaan optimum dengan 4,878 operasi telahpun dilakukan sepanjang musim Monsun Timur Laut, sehingga jam 8 pagi tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menurut Reezal Merican, beliau turut menerima laporan mutakhir ‘real-time’ daripada pengarah bomba negeri mengenai keadaan di seluruh negara khususnya di enam negeri yang sedang mengalami banjir.

“Grup WhatsApp saya bersama mereka tidak pernah sunyi dengan perkembangan terkini situasi di lapangan pada setiap masa.

“Ia juga memudahkan arahan diberi serta-merta dan tindakan dapat dilakukan segera.

“Keberadaan Wira Merah di setiap lokasi merupakan kelegaan kepada rakyat. Saya doakan pasukan Wira Merah kita terus diberi kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat di mana sahaja pada setiap masa,” kata beliau.

Artikel Berkaitan: