Lokasi pendaratan penyu terancam lagi

Difahamkan projek perlombongan pasir membabitkan kawasan seluas 121 hektar di Pantai Pasir Panjang. Foto ihsan Kuasa. (Gambar dalam) Kuasa memaklumkan terdapat projek yang dijalankan di kawasan pendaratan penyu.
Difahamkan projek perlombongan pasir membabitkan kawasan seluas 121 hektar di Pantai Pasir Panjang. Foto ihsan Kuasa. (Gambar dalam) Kuasa memaklumkan terdapat projek yang dijalankan di kawasan pendaratan penyu.
A
A
A

LUMUT - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) kesal apabila wujud lagi projek dipercayai perlombongan pasir seluas 121 hektar yang menjejaskan pendaratan penyu Pantai Pasir Panjang, Segari di sini.

Timbalan Pengerusinya, Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, pantai sepanjang tujuh kilometer itu adalah satu-satunya lokasi pendaratan penyu di negeri ini yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar tahap satu.

Menurutnya, pantai itu merupakan kawasan sensitif iaitu kawasan yang tidak boleh dijalankan apa-apa aktiviti pembangunan lain selain pelancongan terkawal dan penyelidikan sepertimana yang dinyatakan dalam Rancangan Fizikal Negara.

"November lalu, kita menyedari timbul satu lagi projek yang menjadi tanda tanya penduduk berikutan terdapatnya jentera berat yang memasuki kawasan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

"Empat tahun lalu, kita pernah bantah projek sama di muara Sungai Puyu dan sudah dipulihara. Tapi kini timbul lagi projek tidak jauh dari kawasan berkenaan. Bagaimana boleh lulus lagi projek di sini?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Noor Ismady berkata, penduduk setempat kini tidak boleh lagi mengakses kawasan berkenaan apabila dihalang oleh lelaki dipercayai penjaga kawasan terbabit.

"Apabila projek itu diteruskan sudah pasti menjejaskan peratusan pendaratan penyu, tambahan bulan Mac ini merupakan musim penyu mendarat.

"Kita juga gusar apabila hutan-hutan tepi pantai ini akan ditebang untuk membawa keluar hasil dipercayai pasir.

Artikel Berkaitan:

"Pendapatan nelayan kecil juga akan terjejas sekiranya hasil dibawa keluar secara 'pontoon'. Kawasan berkenaan merupakan lubuk ikan dikenali sebagai beting Batu Malang," katanya.

Noor Ismady berkata, setiap tahun Kuasa berusaha untuk mewartakan kawasan ini sebagai kawasan perlindungan dalam Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.

"Kerajaan Pusat sudah meletakkan pantai ini di bawah Rancangan Fizikal Negara, tetapi kita belum nampak lagi usaha kerajaan negeri. Aduan diajukan secara lisan kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk tindakan lanjut pada Disember lalu.

"Selagi belum diwartakan, kawasan penyu ini akan terdedah dengan ancaman projek-projek sebegini. Usaha konservasi pesisir pantai yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) akan jadi sia-sia," katanya.