PBSSPKL rayu bantuan baiki van, bas sekolah terjejas banjir

Keadaan sebuah van sekolah yang ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Haron
Keadaan sebuah van sekolah yang ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Haron
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) merayu kepada kerajaan Persekutuan untuk memberikan bantuan secara ’one-off’ sebanyak RM5,000 kepada pemilik bas dan van sekolah yang terjejas akibat banjir.

Pengerusinya, Mohd Haron Mohd Sidik berkata, lebih 1,000 pemandu van dan bas sekolah yang tinggal di sekitar Shah Alam dan Hulu Langat daripada jumlah 3,500 ahli di seluruh Lembah Klang.

Menurutnya, kerosakan meliputi pelbagai komponen seperti enjin, unit kawalan elektronik (ECU) yang dimasuki lumpur dan kos membaikinya boleh mencecah sehingga RM5,000 bagi sebuah van sekolah.

“Apabila sesebuah kenderaan tenggelam sepenuhnya, maka akan berlaku kerosakan pada keseluruhan enjin, ECU dan sistem elektroniknya. Jadi kos untuk membaikinya boleh mencecah sehingga RM5,000 untuk membaikinya.

“Saya merayu sokongan dan bantuan kerajaan jika boleh berikan bantuan ‘one-off’ RM5,000 untuk seorang pengusaha bas sekolah yang terlibat dengan banjir. Ketelusan permohonan berpandukan kepada laporan polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Haron berkata, rata-rata pengusaha bas dan van sekolah bukan hanya mengalami kerugian akibat kerosakan kenderaan tersebut, malah rumah mereka turut terjejas akibat musibah banjir itu.

Dakwanya, sehingga kini nasib mereka masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan mahupun kerajaan walaupun sesi persekolahan bakal bermula pada 10 Januari ini.

“Sehingga sekarang tiada sebarang bentuk bantuan disalurkan daripada kerajaan. Sekolah pula akan dibuka pada 10 Januari dan rata-rata pengusaha tiada wang simpanan.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula rumah mereka juga ditenggelami banjir selain semua perkakas di dalam rumah turut musnah,” ujarnya.