Cabaran besar menanti MSN

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

SERAMAI 54 atlet dari pelbagai bidang sukan berjaya menempatkan diri dalam kedudukan enam terbaik dunia sepanjang 2021.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pencapaian tersebut satu perkara yang boleh dibanggakan ketika atlet pada 2021 terpaksa berlatih dalam norma yang baharu memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga berbangga dengan pencapaian yang dilakar atlet ketika menyertai temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang berjaya menyumbang pingat buat negara.

“Jika dirangkumkan pencapaian arena sukan negara 2021 sudah tentu ia bercampur baur dengan keadaan pandemik Covid-19 yang masih berterusan, tetapi kesemua atlet jurulatih dan pegawai terlibat berjaya mengharungi masalah tersebut.

“Walaupun kita masih belum berjaya mendapat pingat emas pertama dalam temasya Olimpik, tetapi kita berbangga dengan pencapaian satu pingat perak dan gangsa.

“Manakala untuk Sukan Paralimpik mereka berjaya peroleh tiga emas dan 2 perak yang mana pencapaian terbaik sepanjang penyertaan kita.

“Selain itu, sebanyak 54 atlet dari pelbagai bidang menduduki ranking keenam terbaik dunia. Itu juga pencapaian yang boleh dibanggakan jika diambil kira dengan situasi pandemik Covid-19 melanda negara ketika itu,” katanya.

Mengenai perancangan tahun ini, Shapawi berkata, 2022 merupakan tahun yang sibuk memandangkan atlet-atlet negara akan bersaing tiga temasya besar iaitu Sukan SEA di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihaknya sentiasa komited dalam menyediakan atlet-atlet terbaik untuk bersaing di temasya tersebut meskipun berdepan kekangan bajet disebabkan negara dalam proses pemulihan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar buat arena sukan Malaysia apabila atlet-atlet akan menyertai tiga temasya yang besar yang besar iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Seperti kita sedia maklum, bidang sukan tidak menerima peruntukan yang besar ketika negara ketika ini masih dalam proses pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun kita perlu terus ke depan dan MSN sentiasa komited untuk menyediakan atlet-atlet yang terbaik bagi tiga kejohanan tersebut,” katanya.