Sukan SEA: Skuad hoki wanita di tahap terbaik hadapi final

Skuad hoki wanita kebangsaan yang sudah pun mengesahkan tempat di final, akhiri saingan liga sepusingan dengan rekod tanpa kalah selepas membelasah Indonesia 6-0 pada aksi terakhir. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation.
Skuad hoki wanita kebangsaan yang sudah pun mengesahkan tempat di final, akhiri saingan liga sepusingan dengan rekod tanpa kalah selepas membelasah Indonesia 6-0 pada aksi terakhir. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation.
A
A
A

SKUAD hoki wanita kebangsaan yang sudah pun mengesahkan tempat di final, mengakhiri saingan liga sepusingan dengan rekod tanpa kalah selepas membelasah Indonesia 6-0 pada aksi terakhir di padang hoki Stadium Nasional Morodok Techo di sini.

Skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bermula garang apabila mendahului 2-0 pada 10 minit pertama selepas Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad meledak gol padang pada minit kedua sebelum Nuramirah Shakirah Zulkifli menyempurnakan pukulan penalti pada minit kesembilan.

Malaysia semakin selesa mendominasi permainan apabila Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin meledak gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-36 dan Nuramirah Shakirah menjadikan kedudukan 4-0 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-50.

Tidak terhenti di situ, Malaysian Tigress terus menambah derita lawan dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat menerusi pukulan penalti Nur Afiqah Syahzani Azhar dan pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni, masing-masing pada minit ke-55.

Kejayaan membelasah Indonesia merupakan kemenangan keempat berturut-turut anak buah Mohd Nasihin menjelang pertembungan final berdepan Thailand, esok.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di kedudukan teratas mengumpul 12 mata diikuti Thailand kedua (enam mata), Singapura ketiga (lima mata) sementara Indonesia dan Kemboja masing-masing berkongsi dua mata di tempat keempat dan kelima.

"Untuk aksi final esok, strategi kedua-dua pasukan pastinya telah diketahui, namun kami akan merancang satu strategi lain dan yang terbaik untuk final.

"Saya amat berharap pemain akan mencurahkan segalanya pada aksi terakhir esok kerana ia merupakan perlawanan paling dinantikan semua,” kata Mohd Nasihin selepas perlawanan di sini.

Sebagai rekod, pasukan hoki wanita negara memenangi emas pada edisi 2017 sebelum sukan itu tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina dan 2021 di Vietnam.

Dalam pada itu, Thailand yang telah mengesahkan tempat di final lebih awal tewas 0-1 di tangan Singapura pada satu lagi aksi terakhir saingan. - Bernama