Lebih RM4.5 juta dibelanja bantu mangsa banjir

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM4.5 juta bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir. - Foto Bernama
Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM4.5 juta bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM4.5 juta bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas, kata Menterinya, Senator Idris Ahmad.

Beliau berkata, selain barangan makanan dan wang tunai, pihaknya turut menyumbang pelbagai keperluan asas antaranya selimut, pek kebersihan, kelengkapan solat dan barangan elektrik.

Katanya, pemberian sumbangan itu telah dimulakan sejak dua minggu lepas melibatkan beberapa agensi agama antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Sejurus berlaku banjir, kita bentuk jawatankuasa khas untuk mengelola dan menyelaraskan bantuan, khususnya kepada negeri terjejas teruk seperti Selangor dan Pahang.

“Selepas ini, mungkin kami akan turun ke Terengganu dan Kelantan untuk bantuan dan diharap sumbangan kami yang sedikit ini, dapat meringankan beban ditanggung mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada mangsa banjir di surau Kampung Lengkong di sini, pada Sabtu.

Bagi program berkenaan, kira-kira RM136,000 diperuntukkan untuk membantu penduduk Karak dan Bentong, yang kehilangan harta benda akibat banjir. - Bernama

Artikel Berkaitan: