300 sukarelawan bermandi peluh sambut tahun baharu

Sukarelawan Berjasa diberikan taklimat sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan di Kampung Padang Jawa.
Sukarelawan Berjasa diberikan taklimat sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan di Kampung Padang Jawa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggerakkan 300 sukarelawan di Kampung Padang Jawa, Seksyen 17 di sini dan Sepang bagi membantu mangsa banjir sempena tahun baharu.

Malah kira-kira 800 sukarelawan parti itu sudah berkampung di Selangor sejak dua minggu lalu bagi membantu 6,000 mangsa banjir sekitar Shah Alam, Klang, Dengkil, Sepang dan Banting.

Naib Presiden Berjasa, Abdul Samad Ashaari berkata, selain mengedarkan pelbagai bentuk sumbangan kepada mangsa, ratusan sukarelawan parti itu turut membersihkan kawasan terjejas.

"Gerak kerja ini dilakukan dengan harapan dapat membantu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempercepatkan kerja pembersihan agar penduduk dapat mulakan kehidupan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Samad berkata, keadaan pasca banjir lebih perit kerana kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang dan memerlukan sokongan motivasi untuk meneruskan kehidupan.

"Justeru itu, Berjasa memerlukan sumbangan daripada rakyat Malaysia di luar sana untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir sebagai tanda keprihatinan," katanya.

Dalam pada itu, Berjasa turut menegaskan bahawa negara perlu diurus oleh golongan mereka yang jujur, amanah, kompeten, sensitif, berjiwa rakyat dan berjiwa besar.

Menurutnya, bencana banjir yang melanda juga adalah sebagai satu 'teguran' buat yang berada di barisan kepimpinan untuk menunaikan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan mesti segera menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat bencana banjir dan pandemik Covid-19 yang masih tidak berkesudahan," katanya.